Malaysian Football League (MFL) memberikan peringatan kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia agar tidak sesekali menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan masalah hutang dengan mengharapkan geran tahunan 2019.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, beliau menyifatkan langkah tersebut satu perbuatan tidak sihat di mana MFL sentiasa menekankan insentif tersebut harus digunakan untuk tujuan positif dan bukannya menjadi saluran menyelesaikan masalah tunggakan gaji.
Sebelum ini, MFL telah bertindak menahan geran tahunan kepada pasukan-pasukan yang gagal menyelesaikan masalah hutang antaranya Perlis yang telah dibatalkan penyertaan dalam Liga Premier musim ini.
Ketika ditanya masih ada pasukan-pasukan yang berhajat menggunakan geran tahunan 2019 bagi menyelesaikan masalah hutang, Kevin tidak menolak kemungkinan itu di mana beliau mengakui kecewa apabila geran tersebut tidak digunakan pada tujuan yang betul.
“Ada juga dalam dokumen-dokumen diberikan (kepada MFL) berkata bahawa isu ini (tunggakan gaji) akan diselesaikan menerusi geran tahunan yang diberikan dan walaupun ini adalah salah satu ikhtiar MFL untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji dengan menahan insentif yang diberikan tetapi ia adalah satu perkara tidak sihat.
“Sebenarnya geran ini perlu digunakan pada tahun 2019 untuk membangunkan pasukan itu dan jika satu pasukan telah mendapat penaja atau pelabur yang boleh menampung perbelanjaan mereka pada tahun ini, maka geran yang diberikan boleh digunakan untuk membangunkan fasiliti atau melabur peringkat pembangunan akar umbi.
“Ia tidak sepatutnya berlaku jika geran tahun 2019 digunakan menyelesaikan hutang-hutang yang lama. Walaupun kita kemungkinan akan mengambil langkah itu (serahkan geran) di mana ia bergantung keputusan di tangan Ahli Lembaga Pengarah MFL, tetapi ia menjadi perkara tidak sihat bagi tempoh jangka masa panjang.
“Duit geran yang diberikan pada tahun ini adalah kegunaan pada tahun ini dan semua pasukan yang terlibat telah mendapat geran yang diberikan pada tahun 2018 di mana ia sepatutnya digunakan pada tahun 2018. Jadi, insentif itu telah diberikan sepenuhnya dan ia tidak patut untuk menyatakan bahawa mereka tidak dapat menyelesaikan isu-isu tunggakan itu oleh kerana MFL tidak memberikan insentif pada tahun 2019,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kevin memberitahu MFL akan menjawab status tujuh lagi pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji serta kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan selewat-lewatnya pada 15 Mac depan selepas mereka mengumumkan pembatalan penyertaan Perlis dalam saingan Liga Premier, 20 Februari lalu.
“Apabila kita buat keputusan melalui sekular, ia menjadi proses agak panjang untuk mendapatkan satu keputusan terutama sekali bila banyak dokumen perlu diberikan perhatian oleh Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MFL.
“Jadi, kita perlu memberikan mereka ruang dan masa sebelum meminta apa-apa keputusan di mana keputusan ini boleh dibuat satu per satu dan bukannya secara berkelompok.
“Jika belum ada sebarang keputusan sebelum 15 Mac ini, ia (keputusan) akan dibuat dalam satu pertemuan Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL pada 15 Mac ini, bukan melalui sekular. Dalam pertemuan ini saya jangka kita akan boleh mencapai keputusan dalam masa lebih singkat,” ujarnya.
Sementara itu, Kevin menegaskan tiada pasukan yang terlepas dari hukuman jika mereka melanggar peraturan biarpun beliau memuji ada beberapa pasukan yang serius menangani masalah terutama melibatkan isu hutang.
“Ada yang telah mengambil langkah-langkah yang baik untuk menyelesaikan tunggakan gaji sedia ada antaranya secara penuh atau ansuran tetapi kita perlu memuji bahawa ada pasukan yang memandang serius dalam isu ini.
“Namun satu keputusan perlu dibuat atas kegagalan mereka (lewat) waktu pendaftaran itu. Walaupun usaha baik telah dilakukan mungkin hukuman yang lebih berat dapat dielakkan tetapi mereka tetap melanggar peraturan yang ditetapkan.
“Jadi kita tidak boleh mengatakan jika mereka telah melunaskan bayaran tunggakan, tiada apa-apa (hukuman). Kita kena ingat tarikh pendaftaran yang diberikan adalah tarikh yang munasabah dan bukan perkara yang susah dilakukan jika pasukan dapat menguruskan pendaftaran pasukan dengan baik selain isu tunggakan gaji,” tambahnya.