Pemain muda skuad The Samurai Blue yang mendapat gelaran “Messi Jepun”, Takefusa Kubo dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai kelab gergasi La Liga Sepanyol, Real Madrid.
Kubo, yang membuat penampilan pertama bersama skuad senior Jepun ketika pasukan itu menentang El Salvador dalam satu perlawanan persahabatan sebelum kejohanan Copa America 2019 bermula dikatakan sudah bersetuju dengan syarat yang diberikan oleh Real Madrid dan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.
Menurut laporan Japan Times, Kubo mendapat tawaran gaji sebanyak 1 Juta Euro dan kontrak selama 5 tahun, dimana Real Madrid sedia untuk membayar yuran perpindahan sebanyak 2 Juta Euro kepada kelab terkini Kubo iaitu FC Tokyo.
Selain Real Madrid, dua lagi kelab gergasi Eropah, juara La Liga Sepanyol musim ini, Barcelona dan juara Ligue 1, Paris Saint-Germain turut memburu khidmat Kubo yang dibenarkan untuk berpindah kelab setelah beliau mencapai usia 18 tahun pada 4 Jun lalu.
Pemain yang beraksi di posisi pemain tengah menyerang itu menjadi sebutan dimana beliau telah menjaringkan 4 gol dalam saingan J.League setakat ini dan membantu FC Tokyo menghuni tangga teratas liga dengan perbezaan 6 mata dihadapan Kawasaki Frontale dan Yokohama F Marinos.
Sebelum mencipta nama bersama FC Tokyo, Kubo pernah mendapat jemputan untuk berlatih bersama akademi Barcelona, La Masia ketika beliau berusia 9 tahun. Namun, selepas tiga musim bersama La Masia, Kubo terpaksa pulang ke Jepun kerana Barcelona dikenakan hukuman tidak dibenarkan membeli pemain kerana melanggar undang-undang FIFA tentang pengambilan pemain muda dari luar Sepanyol.
Real Madrid sedang rancak membuat persiapan bagi menghadapi saingan La Liga musim 2019/2020 dimana mereka telah membawa masuk Eden Hazard, Ferland Mendi, Luka Jovic, Eder Militao dan Rodrygo Goes.