Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe jelas tidak berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak buahnya ketika bertemu Kelantan United, malam tadi meskipun berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia 2022.
Skuad gergasi merah mencatatkan kemenangan 1-0 di laman sendiri hasil jaringan sendiri Nik Akif Syahiran Nik Mat pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir dengan agregat 3-0.
Kemenangan itu sekaligus menyaksikan Selangor akan membuat perhitungan dengan Negeri Sembilan. Pasukan yang tidak pernah mereka tewaskan pada aksi liga musim ini.
Kemenangan itu bagaimanapun bukanlah sesuatu yang amat menggembirakan Cheng Hoe kerana beliau mengenalpasti begitu banyak kelemahan dilakukan anak buahnya sepanjang perlawanan.
Selain gagal menterjemahkan deretan peluang yang dimiliki sepanjang perlawanan, aspek hantaran tepat kepada rakan sepasukan juga menjadi kerisauan buat pengendali berusia 54 tahun itu.
“Memang kita layak ke peringkat suku akhir, sudah tentu pada malam ini kita nampak pemain-pemain beraksi dibawah tahap sebenar,” ujar Tan Cheng Hoe bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.
“Sebagai jurulatih kita tidak boleh rasa puas hati kerana banyak kelemahan yang cukup ketara dapat kita lihat terutama hantaran-hantaran tidak sampai kepada rakan sepasukan.”
“Secara keseluruhan saya masih mengharapkan pemain-pemain dapat menjadikan perlawanan ini sebagai satu pengajaran terbaik kerana setiap perlawanan amat penting untuk fokus 90 minit.”
“Terutamanya apabila kita berada di suku akhir memang lawan yang kita akan hadapi nanti lebih sukar berbanding perlawanan sebelum ini,” tambah Tan Cheng Hoe lagi.
Selain pertemuan Selangor berdepan Negeri Sembilan, tiga lagi aksi suku akhir yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini melibatkan pertembungan Kuching City bertemu Sabah, Kelantan melayani kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City menentang Terengganu.
Selangor mempunyai cerita yang cukup menarik dalam saingan Piala Malaysia apabila mereka muncul pemenang terbanyak kejohanan tersebut dengan 33 kali kejuaraan pernah dimenangi.