Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong terus tidak berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak buahnya walaupun mereka berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Baca Juga:

Kemenangan ke atas Filipina pada aksi terakhir peringkat kumpulan itu bagaimanapun jelas tidak mampu membuatkan pengendali kelahiran Korea Selatan tersebut tersenyum kerana kegagalan anak buahnya untuk menyempurnakan peluang terhidang.

Hanya ketika bertemu Brunei yang menyaksikan anak buah Tae-yong meledakkan tujuh gol, perlawanan lain menyaksikan Indonesia hanya meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Kemboja dan Filipina manakala seri 1-1 bertemu Thailand.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan peluang Indonesia untuk bergelar juara kumpulan tidak kesampaian dan berkemungkinan besar akan berhadapan tugas sukar menghadapi Vietnam pada separuh akhir.

“Perlawanan pertama bertemu Kemboja kami terlepas tiga atau empat peluang keemasan tetapi tidak dapat menjaringkan gol, selepas setiap perlawanan saya jelaskan bahawa kami boleh menjaringkan gol dan mendapat banyak peluang baik hari ini.”

Dendi Sulistyawan, Saddil Ramdani dan Marselino Ferdinand. Kredit Foto: PSSI

“Tetapi kami tidak dapat menggunakan peluang dengan baik sebab itu membuatkan saya sangat terkilan dengan keadaan ini. Ia perlu dinilai,” ujar Shin Tae-yong menurut sumber laporan Goal Indonesia.

“Memang saya amat kecewa dengan perlawanan ini. Semua perlawanan termasuklah hari ini. Memang namanya bola sepak, anda perlu menjaringkan gol untuk mendapatkan keputusan yang baik.”

Tetapi persembahan yang baik tidak dapat menjaringkan banyak gol berbanding peluang yang kami perolehi, jadi saya terkilan dengan keadaan ini.”

“Untuk aksi separuh akhir, kami akan bermain di gelanggang sendiri terlebih dahulu, pada pendapat saya pastinya Vietnam kerana yang pertama, walaupun kami perlu melihat keputusan akhir juga.”

“Untuk itu, kami akan menyediakan pasukan dengan lebih baik semula,” tambah Tae-yong lagi.