Berdepan masalah kekurangan pemain nyata tidak menjadi penghalang untuk skuad Vietnam B-23 tahun mara ke perlawanan akhir saingan AFF B-23 tahun yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja.
Sebelum memulakan aksi separuh akhir menentang Timor Leste, Vietnam hanya mempunyai 13 pemain dalam senarai matchday squad dan mereka hanya mampu untuk membariskan dua pemain di bangku simpanan, seorang pemain tengah dan seorang lagi penjaga gol.
AFF U23 Championship 2022 – SEMIFINAL 2 – Timor Leste vs Vietnam – START LIST#AFF#AFFU23 pic.twitter.com/rDz5s61KsD
— ASEAN Football (@AFFPresse) February 24, 2022
Skuad kendalian Dinh The Nam ini mengalami krisis kekurangan pemain setelah lima pemain disahkan positif COVID-19 selepas aksi peringkat kumpulan menentang Thailand dimana kelima-lima pemain ini turun beraksi dalam perlawanan tersebut sekaligus perlu menjalani kuarantin dan terlepas aksi separuh akhir.
Malah, pada aksi yang berlangsung semalam, penjaga gol simpanan iaitu Tran Liem Dieu terpaksa dimasukkan sebagai pemain di bahagian serangan setelah ada rakan sepasukan yang mengalami kecederaan.
#News |🇻🇳 Because U23 Vietnam ran out of players to substitute, Goalkeeper, Tran Liem Dieu plays as Reluctant striker in Semi- Final against Timor Leste. pic.twitter.com/7VQDZnOqkp
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) February 24, 2022
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo ini diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 0-0.
Skuad The Golden Star berjaya menyempurnakan lima sepakan penalti berbanding lawan mereka yang hanya mampu menyempurnakan tiga sepakan sekaligus menempah tiket ke perlawanan akhir dimana mereka akan bertemu Thailand.
Thailand berjaya mara ke pentas akhir setelah menewaskan Laos dengan keputusan 2-0 menerusi jaringan daripada Teerasak Poeiphimai dan Kroekphon Arbram pada satu lagi aksi separuh akhir.
Thailand dan Vietnam akan berentap bagi merebut kejuaraan manakala Laos dan Timor Leste akan turun beraksi bagi merebut tempat ketiga dan keempat. Kedua-dua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo pada Sabtu ini.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak sekitar Asia di sini:
RASMI: Kuala Lumpur Dipilih Sebagai Tuan Rumah Kumpulan H AFC Cup 2022
Hanya JDT Miliki ‘Bespoke Jersey’ Nike Dan Kelab Premium Tunggal Di Rantau Asia Tenggara Ketika Ini