Berbicara tentang Jose Maria Gutierrez Hernandez atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Guti’ pasti membuatkan para peminat bola sepak seluruh dunia terkenangkan visi hebat ditampilkannya ketika beraksi.
Baca Juga:
- Ozil Dedah Layanan Berbeza Mourinho & Guardiola Buatkannya Pilih Real Madrid
- Pemain Muda Cemerlang, Masa Depan Real Madrid Kian Cerah
- RASMI: Ramos Tinggalkan Real Madrid Selepas 16 Tahun Kerana Polisi ’30 Tahun’ Kelab
Ketika peluang untuk menjaringkan gol sudah ada di depan mata, Guti lebih cenderung untuk melakukan bantuan jaringan. Malah, bantuan jaringan yang diberikannya seringkali memukau.
Antara detik yang akan sentiasa dikenang para peminat ialah pada aksi La Liga 2009/10 dimana Guti melakukan ‘backheel’ cantik dalam kawasan penalti Deportivo La Coruna untuk membolehkan Karim Benzema menjaringkan gol.
Sehubungan dengan itu, sumbangan hebat dicurahkan Guti tidak wajar dipandang sepi meskipun Real Madrid pada ketika itu dibarisi himpunan bintang di jentera tengah seperti Zinedine Zidane, Luis Figo, David Beckham dan Kaka.
Kenali Jose Maria Gutierrez Hernandez
Guti yang lahir di Torrejon de Ardoz, sebuah bandar yang hanya 20 kilometer daripada Santiago Bernabeu itu memiliki pakej lengkap sebagai seorang pemain tengah kreatif dengan kemampuan melakukan ‘killer pass’ serta hantaran jauh berkualiti tinggi buat rakan sepasukannya.
Selain itu, gerak kakinya yang memukau turut menjadi senjata tambahan buat Guti dalam meletakkan beliau sebagai antara nadi penting sebagai ‘enjin serangan’ buat Real Madrid ketika era Galacticos.
Tidak keterlaluan untuk memperkatakan bahawa Guti adalah merupakan wira yang tak didendang dalam kem Real Madrid pada ketika itu.
Karier hebatnya di Los Blancos menyaksikan beliau telah membuat 542 penampilan dengan menghasilkan 77 gol serta mencipta 93 bantuan jaringan dalam semua pertandingan disertai.
Madridista sejati
Dilahirkan pada 31 Oktober 1976, Guti sememangnya merupakan Madridista sejati apabila menyertai Akademi Real Madrid bermula 1986 atau lebih tepat lagi pada usia 10 tahun.
Berbekalkan kepada visi, kualiti hantaran, kegigihan dan segala yang dipamerkannya, jurulatih akademi Real Madrid menilai bahawa Guti mampu untuk berperanan di posisi tengah meskipun pada mulanya beliau adalah seorang penyerang.
Seperti pemain bola sepak yang lain, perjalanan panjang di peringkat akademi dihadapi dengan penuh kesabaran bagi membolehkan impian untuk menyertai skuad utama terlaksana.
Keluar daripada akademi kelab gergasi dunia itu pada 1994, beliau kemudiannya berjaya menembusi skuad C Real Madrid dan hanya selepas semusim, Guti dinaikkan pangkat ke Real Madrid B bagi menghadapi musim 1995/96.
Jorge Valdano perintis peluang keemasan buat Guti
Kesempatan yang diberikan dalam membarisi pasukan Real Madrid B telah digunakan sepenuhnya oleh Guti untuk membuktikan kualiti yang dimiliki beliau.
Keadaan tersebut membuatkan pengendali skuad utama ketika itu, Jorge Valdano untuk memberikan pendedahan buatnya dalam kempen La Liga.
Penampilan sulungnya dalam saingan tersebut ialah pada 2 Disember 1995 dimana beliau berusia 19 tahun apabila Guti dimasukkan pada minit ke-60 untuk menggantikan Jose Amavisca ketika Real Madrid menumpaskan Sevilla 4-1 di Santiago Bernabeu.
Pada musim tersebut, Guti telah diberikan peluang untuk membuat penampilan dalam sembilan perlawanan dan turut berjaya menjaringkan satu gol dalam aksi La Liga.
Sebaik sahaja tamat musim, beliau diserapkan secara terus ke pasukan utama sekaligus mendapat peluang beraksi bersama bintang-bintang pasukan seperti Fernando Hierro, Raul Gonzalez, Davor Suker, Clarence Seedorf dan ramai lagi.
Musim 1996/97 dan 1997/98 jelas menjadi medan buat Guti dalam meningkatkan keyakinannya untuk bersaing dengan rakan sepasukan yang lebih senior di mana beliau telah membuat 39 penampilan secara keseluruhan dalam semua pertandingan pada dua musim tersebut.
Peluang keemasan itu diserikan lagi dengan terpilihnya beliau untuk menganggotai skuad Real Madrid yang berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah 1997/98.
Musim berikutnya menyaksikan beliau sudah mula memenangi hati pengurus ketika itu, Guus Hiddink yang kemudian digantikan dengan John Toshack untuk memberikan lebih minit permainan.
Selepas daripada itu, Guti sentiasa menjadi tonggak jentera tengah Real Madrid meskipun terdapat para pemain bintang dan pengurus yang silih berganti menyertai kelab tersebut.
Walaupun berdepan sedikit masalah dengan Manuel Pellegrini pada musim terakhirnya di Santiago Bernabeu, Guti masih mampu untuk membuat 30 penampilan dalam semua pertandingan.
Selepas 24 tahun ‘menghambakan diri’ bersama Real Madrid, Guti akhirnya memilih untuk berhijrah ke Besiktas pada musim 2010/11 dan beraksi selama dua musim sebelum mengumumkan persaraannya.
Cemerlang di peringkat domestik tetapi kurang bernasib baik bersama La Roja
15 musim bersama skuad utama Real Madrid, Guti telah menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah sebanyak tiga kali serta lima kali bergelar juara saingan La Liga.
Selain itu beberapa lagi kejuaraan yang dimenangi Guti bersama Real Madrid seperti Supercopa de Espana (tahun 1997, 2001, 2003 dan 2008) serta UEFA Super Cup 2002.
Bagaimanapun, keindahan dalam karier itu tidak dapat diteruskan di pentas antarabangsa kerana beliau hanya mampu membuat 13 penampilan berikutan persaingan untuk merebut tempat bersama La Rojas lebih besar.
Hal ini kerana bintang-bintang ternama seperti Luis Enrique, Juan Valeron, Xavi dan Gaizka Mendieta lebih menjadi pilihan pengurus skuad kebangsaan Sepanyol pada ketika itu.
Karier kejurulatihan masih belum menyinar
Selepas bersara, Guti dilantik sebagai jurulatih skuad remaja Real Madrid bermula 2013 hingga 2018 dan kemudiannya bergelar penolong pengurus Besiktas, Senol Gunes.
Pada 5 November 2019, beliau menerima tawaran selaku ketua jurulatih Almeria yang beraksi dalam Liga Segunda. Bagaimanapun, Guti dipecat pada 26 Jun 2020.