Media sukan antarabangsa, BBC Sports mencadangkan agar saingan Liga Malaysia menggunakan khidmat Video Assistance Referee (VAR) pada perlawanan yang akan datang.
Cadangan ini muncul selepas mereka memuat naik insiden yang melibatkan pemain pertahanan import Selangor, Yazan Al Arab dan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman apabila kedua pasukan bertemu dalam saingan Liga Super di Petaling Jaya pada Sabtu lalu.
Pada separuh masa pertama, JDT diberikan sepakan penalti oleh pengadil, Zulkarnain Zakaria selepas Arif dijatuhkan oleh Yazan. Namun ramai berpendapat kekasaran yang dilakukan oleh Yazan adalah soft dan sepakan penalti tidak seharusnya diberikan.
Insiden melibatkan pengadil bagaikan acara tahunan dalam saingan liga domestik negara dimana setiap musim terdapat beberapa kejadian yang mengakibatkan ramai pihak mempersoalkan keputusan pengadil.
Meskipun gesaan untuk menggunakan khidmat VAR sudah disuarakan sejak beberapa musim kebelakangan ini, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan masalah ini.
Satu lagi insiden yang berlaku pada Sabtu lalu melibatkan penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim dengan pemain Melaka United, Harith Naem dimana Harith mengasari Rahadi sehingga menyebabkan penjaga gol itu mengalami kecederaan serius di kepala dan segera dikejarkan ke hospital.
Pengadil perlawanan, Nafeez Wahab tidak memberikan sebarang hukuman kepada Harith di atas terjahan berbahaya yang dilakukan sehingga menyebabkan Rahadi mengalami kecederaan serius di kepala.
Apa yang pasti, FAM sebagai badan induk bola sepak negara perlu segera menyelesaikan isu mengenai pengadil bagi memastikan perlawanan liga domestik selepas ini tidak diwarnai dengan insiden sedemikian rupa.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:
Jafri Firdaus: Saya Sendiri Tawarkan Diri Berubah Ke Pertahanan Kanan