Kapten Perancis, Kylian Mbappe berada di Paris pada hari Isnin untuk rawatan kecederaan lutut tetapi tiada pembedahan dirancang.
“Mbappe berada di Paris diiringi oleh anggota staf perubatan Real Madrid,” kata kem penyerang itu dalam satu kenyataan.
“Dengan persetujuan kelab, dia sedang menjalani ujian lanjut pada lututnya,” sambung kenyataan itu lagi, “dengan tujuan mengoptimumkan penjagaan susulannya dan bersedia untuk kemunculannya semula. Tiada intervensi pembedahan dirancang pada masa ini.”
Mbappe telah bergelut dengan kecederaan ligamen luaran lutut kirinya sejak akhir tahun 2025 dan terlepas perlawanan kedua play-off Liga Juara-Juara minggu lalu menentang Benfica disebabkan oleh “kesakitan berterusan” dalam latihan, kata sumber yang rapat dengan pemain itu.
Rombongannya menegaskan tidak ada perselisihan mengenai rawatan yang diperlukan oleh pemain itu antara kelabnya dan pasukan kebangsaan Perancis, yang sangat ingin melihat Mbappe cergas sepenuhnya untuk Piala Dunia (World Cup) yang akan datang.
“Ia adalah sedikit konsensus antara semua orang (Mbappe, jurulatih dan doktor), dan kami fikir perkara terbaik adalah dia berhenti, dia pulih dan kembali pada 100 peratus,” kata jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa kepada penyiar Movistar lewat minggu lalu.
“Ia tidak akan menjadi soal beberapa hari, ia akan menjadi lebih lama, tetapi saya tidak boleh katakan berapa lama, harapnya tidak terlalu lama.”
Masih belum dapat dipastikan sama ada Mbappe, yang telah menjaringkan 38 gol dalam 33 penampilan untuk kelabnya musim ini, akan dapat bermain dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Manchester City, yang mana perlawanan pertama dijadualkan pada 11 Mac dengan perlawanan timbal balik pada 17 Mac.
Perancis mempunyai dua perlawanan persahabatan yang dijadualkan di Amerika Syarikat pada akhir bulan ini, menentang Brazil di Boston pada 26 Mac dan Colombia di Washington tiga hari kemudian. Perlawanan pertama Piala Dunia mereka adalah pada 16 Jun menentang Senegal.