Kylian Mbappe gagal menyempurnakan – bukan satu – tetapi dua penalti ketika Paris Saint-Germain menentang Montpellier.

Baca Juga:

PSG berpeluang membuka jaringan dalam pertembungan Ligue 1 pada hari Rabu apabila pelawat dihadiahkan penalti.

Mbappe mara ke depan untuk mengambil penalti tersebut selaku pelaksana utama untuk pasukannya seperti mana diumumkan oleh Galtier sebelum ini.

Mbappe beberapa bulan lalu menewaskan Emi Martinez sebanyak dua kali menerusi sepakan penalti dalam aksi final Piala Dunia 2022.

Tetapi usahanya kali ini diselamatkan oleh Benjamin Lecomte yang melakukan penyelamatan yang sangat cemerlang.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan membenarkan PSG mengambil semula sepakan penalti selepas VAR menilai penjaga gol Montpellier itu telah keluar lebih awal daripada garisan golnya.

Jadi, Mbappe sekali lagi berpeluang memecah kebuntuan dari titik penalti.

Namun Mbappe tetap gagal menyempurnakan penalti tersebut yang terkena tiang kemudian dia gagal menjaringkan rebound, melepaskan rembatan melepasi palang gol.

Lebih memburukkan keadaan pemain berusia 24 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-21 kerana disyaki mengalami kecederaan paha.

Sudah tentu ianya perkara membimbangkan pengurus PSG, Christophe Galtier, yang berharap penyerang itu tersedia dan cergas untuk pertembungan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich dalam masa dua minggu lagi.

Liga Juara Juara Eropah adalah sasaran utama PSG dalam beberapa musim ini. Kini Mbappe berisiko untuk tidak terlibat dalam perlawanan tersebut.

PSG menunggu perkembangan perubatan untuk Mbappe.

Tanpa Mbappe, PSG menewaskan Montpellier 3-1 untuk melebarkan pendahuluan di puncak liga dengan lima mata.

Fabian Ruiz membuka tirai jaringan untuk PSG pada minit ke-51.

Juara Dunia 2022, Lionel Messi menambah satu lagi gol untuk juara bertahan Ligue 1 itu pada minit ke-72.

Arnaud Nordin berjaya membalas satu gol pada minit ke-89 untuk memberikan harapan kepada Montepellier untuk bangkit mengikat PSG.

Tetapi itu tidak berlakku, kerana Warren Zaire-Emery yang berusia 16 tahun memulihkan kelebihan dua gol PSG pada masa kecederaan.

Kemenangan ini mengukuhkan lagi kedudukan PSG di atas puncak Ligue 1 dengan 5 mata di hadapan musuh tradisi mereka Olympique Marseille yang kini menghuni tangga kedua.