Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menyifatkan masalah yang menimpa penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) adalah akibat daripada tindakannya menandatangani kontrak dengan dua ejen yang berbeza.
Kelmarin, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita syarikat agensi dari Thailand, Pro24 Sports Management mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman pemain itu kerana melanggar kontrak.
Pengarah Urusan Offside Sports, Abdul Halim Abdul Shukor yang bertanggungjawab membawa pemain itu ke Thailand menjelaskan Mat Yo telah menandatangani kontrak dengan Pro24 Sports Management tanpa pengetahuannya.
Ia turut menyebabkan ejen Thailand itu membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) dan juga kelab BG Pathum United kerana Mat Yo tidak berlaku jujur dengan mereka.
Bagaimanapun, Mat Yo mendakwa Abdul Halim sebenarnya berbohong dan cuba mengalihkan isu sebenar kenapa gagal dihubungi sehingga kini.
“Dia (Halim) tidak sepatutnya mengelakkan Norshahrul. Sekurang-kurangnya hantarlah email rasmi atau mesej untuk menjelaskan situasi sebenar.
“Masalah seperti ini berlaku apabila pemain menandatangani kontrak dengan seseorang tetapi ejen ini tidak boleh mendapatkannya pekerjaan, kemudian ejen lain pula datang dan berjaya mendapatkan pekerjaan untuknya,” kata Effendi dipetik dalam New Straits Times.
Mat Yo yang kali pertama berhijrah ke luar negara amat memerlukan bantuan ejennya untuk menyelesaikan beberapa perkara seperti situasi semasa wabak pandemik COVID-19 termasuk isu pemotongan gaji.
“Kami tahu Norshahrul mendakwa Halim akan membantu menyelesaikan masalah dengan Pro24 untuknya tetapi apakah dia ada bukti bertulis?
“Sama ada betul atau tidak, perkara seperti ini berlaku dengan mudah tetapi pemain harus membuktikan bahawa ejen pertamanya tidak berjaya mendapatkan pekerjaan, sebab itulah dia pergi ke tempat lain.
“Tetapi adakah pemain ini ada memberi notis secara bertulis kepada ejen pertama kerana tidak memenuhi kontrak mereka?
“Jika dia melakukannya, ada alasan yang lebih baik baginya untuk membela kes itu,” jelas Effendi.
Mat Yo yang kini berada di Bangkok bersama isteri dan anaknya tetap menjalani latihan seperti biasa bersama BG Pathum United. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia menghulurkan bantuan dalam menyelesaikan kemelut itu.
Baca artikel lain untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu Norshahrul Idlan Talaha bersama ejennya melalui pautan dibawah.
Mat Yo Dakwa Ejennya Berbohong Dan Cuba Mengalihkan Isu Utama