Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan kelibat Nooa Laine dalam saingan Piala Asia bawah 23 (B-23) di Uzbekistan pada bulan Jun depan tidak jadi kenyataan apabila khidmatnya terpaksa dilupakan ekoran masalah dokumentasi yang belum selesai.
Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Jurulatih, Brad Maloney melalui laporan dalam Harian Metro.
Pemain kacukan Malaysia-Finland itu sempat menjalani latihan bersama skuad B-23 negara beberapa minggu lalu sebelum bertanding dalam Sukan SEA 2021 di Hanoi.
“Nooa menunjukkan prestasi yang baik dalam latihan sebelum ini, tetapi kita masih lagi perlu menanti dokumentasinya seperti pasport yang memerlukan masa.
“Pasukan berada dalam keadaan seimbang dan saya sedia beri peluang, tetapi disebabkan masalah dokumentasi yang perlukan masa, kami terpaksa pergi tanpa khidmatnya. Tapi dia memang berjaya menambat perhatian kami dalam kem latihan sebelum ini,” kata Maloney.
Tanpa khidmat Nooa Laine, Maloney akan menggunakan barisan pemain yang beraksi dalam saingan Sukan SEA minggu lalu walaupun gagal membawa pulang sebarang pingat.
Skuad muda negara jelas bersemangat dalam persiapan mengharungi Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan bermula 1 Jun 2022 hingga 19 Jun 2022.
Anak buah Maloney akan memulakan kempen Kumpulan C berdepan Republik Korea pada 2 Jun 2022, Thailand 5 Jun 2022 dan Vietnam 8 Jun 2022.
“Kita sentiasa melihat pemain terbaik yang ‘available’ dalam pasukan Sukan Sea dan pintu sentiasa terbuka untuk pemain baru, dan kita akan buat keputusan sebelum kita berangkat (ke Uzbekistan) Jumaat iniā¦dan kita cuba sediakan pasukan terbaik.
“Jika pemain itu ‘available’, pintu sentiasa terbuka. Tapi pemain yang ada sekarang juga sudah bersama pasukan agak lama, dan sudah berusaha sepanjang persiapan sebelum ini dan berhak diberi peluang.
“Tapi jika ada pemain lain yang menyertai latihan dan pemilihan, apa salahnya untuk pertimbangkan,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.
Tiket Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 Sudah Mula Dijual
Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil