Pemain import dari Sepanyol, Mario Arqués kembali ke saingan Liga Malaysia musim ini dimana beliau akan beraksi bersama bekas pasukannya iaitu TRW Kelantan.
Baca Juga:
- Zamsaham: Saya Masih Pemilik PSPS Riau
- Kelab Milik ZamSaham, PSPS Riau Bubar Pasukan Secara Rasmi
- Penyerang Kebangsaan Kyrgyzstan Sertai Kelantan United
Perkara ini dikongsikan oleh pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham dimana Mario Arqués telahpun menandatangani kontrak bersama TRW Kelantan dan akan segera menyertai sesi latihan pasukan.
Arques merupakan pemain import terawal ketika Kelantan diambil alih oleh Zamsaham dimana beliau beraksi bersama pasukan itu pada musim 2021.
Setelah beraksi bersama The Red Warriors selama satu musim, pihak kelab mengumumkan pemain itu telah ditamatkan pada bulan Oktober selepas pemain itu mengalami kecederaan selain perlu pulang ke Sepanyol kerana ayahnya dijangkiti COVID-19.
Tidak lama selepas itu, bekas pemain Villarreal dan Valencia ini menyertai kelab Australia iaitu Newcastle Jets. Satu musim beraksi di Australia, Arques kemudiannya berhijrah ke saingan Liga Vietnam.
Pemain berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak bersama Sông Lam Nghệ An pada bulan Ogos tahun lalu dimana beliau beraksi sebanyak tujuh perlawanan dan menjaringkan satu gol.
Ketika beraksi bersama Kelantan, Mario dilantik sebagai ketua pasukan dan beliau menampilkan prestasi yang baik sepanjang musim.
Selain Arqués, Zamsaham mengesahkan pasukannya akan membawa seorang lagi pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023.
Kelantan mengikut jejak langkah pasukan kebangsaan apabila melantik jurulatih dari Korea Selatan iaitu Choi Moon-sik sebagai pengendali baharu bagi menggantikan Reezal Zambery Yahaya.
Selain melantik Moon-sik, Kelantan turut mendapatkan khidmat Hyo Jun-park sebagai jurulatih kecergasan.