Ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Mano Polkinh yakin pasukannya mampu mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan peringkat pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sekaligus layak ke temasya terbesar dalam bola sepak itu.
Baca Juga:
- Mano Polking: Thailand Sentiasa Nombor Satu Di ASEAN
- Chanathip Songkrasin Tinggalkan Kawasaki Frontale
- ACL 2023/24: BG Pathum United Akui JDT Lawan Yang Sukar
Baru-baru ini, Thailand tewas kepada Iraq dalam perlawanan akhir kejohanan King’s Cup menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.
Selepas perlawanan, pasukannya menampilkan prestasi terbaik ketika menentang salah satu pasukan terbaik di rantau Asia dan ini membuktikan Thailand mampu untuk mencapai sesuatu yang lebih besar pasa masa akan datang.
“Ini menunjukkan kami mampu untuk bersaing di peringkat tinggi. Kami membuktikan bahawa kami mampu untuk memberikan saingan kepada pasukan di ranking ketujuh Asia. Matlamat untuk layak ke Piala Dunia boleh dicapai,” kata Mano Polking.
Piala Dunia 2026 menyaksikan sebanyak 48 pasukan akan bertanding berbanding 32 seperti edisi sebelumnya dan negara seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Malaysia mahu memanfaatkan pertukaran format ini bagi layak ke temasya di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu.
Pengendali Iraq, Jesus Garcia turut memuji pemain Thailand yang menurutnya mempunyai potensi untuk menuju ke tahap yang seterusnya.
Selepas tewas kepada Iraq, ada segelintir peminat yang mahu FA Thailand untuk menggantikan Polking dengan jurulatih lain namun pengurus pasukan, Nualphan Lamsam dan ketua pasukan, Theerathon Bunmathan mempertahankan jurulatih itu.
“Kita menang sama-sama, kalah sama-sama. Polking tidak perlu bersedih. Bangkit semula untuk melawan dan jangan tunjuk kelemahan,” kata Theerathon di laman media sosial Facebook miliknya.
Sejak membimbing Thailand pada pertengahan 2020, Polking membantu pasukan itu memenangi dua kejuaraan Piala AFF pada tahun 2020 dan 2022.