Ketua jurulatih Thailand, Alexander Mano Polking menyifatkan pasukannya sepatutnya menewaskan Malaysia dengan jumlah jaringan yang besar selepas mendominasi sepanjang 90 minit perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Baca Juga:

Ini kerana mereka telah melakukan banyak percubaan gol, namun tiada satu pun yang berjaya masuk sekaligus menyaksikan kemenangan berpihak kepada skuad Harimau Malaya 1-0 hasil jaringan Faisal Halim.

Secara keseluruhannya Thailand melakukan 24 percubaan ke arah gawang Harimau Malaya. Berbanding 9 sahaja yang mereka hadapi.

“Saya pun tidak jangka kami mendominasi perlawanan ini. Kami memenangi setiap perebutan bola dan melakukan banyak percubaan berbahaya. Sepatutnya kami memperolehi banyak gol hari ini tetapi itulah bola sepak.

“Ianya sukar untuk menerima kekalahan seperti ini. Malaysia telah memberikan tentangan yang hebat dan kehadiran penyokong juga sangat menakjubkan.

“Saya hanya mahu berkata ianya belum berakhir. Malaysia mendahului di separuh akhir 1 tetapi di Bangkok, kami akan lihat apa yang boleh dilakukan,” kata Polking dalam sidang media semalam.

Malaysia Thailand
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Beliau juga mempunyai masa selama 3 hari untuk memikirkan strategi terbaik untuk memadam defisit satu gol yang dimiliki oleh Malaysia.

“Kami akan cuba buat yang terbaik, kami ada perancagan, ada kualiti, ada pemain dan kami ada penyokong juga. Tapi ketinggalan 1-0 bukan mudah, Malaysia mampu melakukan serangan balas dan jika mereka mendapatkan satu gol, kami perlu jaringkan tiga gol.

Berdasarkan peraturan gol di tempat lawan, Malaysia berpeluang mara ke perlawanan akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 jika berjaya menambah satu lagi gol tanpa bolos.

Malah perlawanan semalam Malaysia sepatutnya memperolehi gol kedua hasil tandukan Dominic Tan namun ia dibatalkan oleh pengadil kerana didakwa mengasari pemain pertahanan Thailand, Pansa Hembivoon.

Ulang tayang menunjukkan Dominic Tan tidak melakukan sebarang kekasaran ke atas pemain lawan. Walaupun Malaysia lebih tajam, namun dari segi ciptaan peluang, Malaysia tidak cukup kreatif.