Ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Mano Polking menyifatkan negara tersebut sentiasa menjadi pasukan yang terbaik dalam kancah bola sepak di peringkat Asia Tenggara (ASEAN).

Baca Juga:

Hakikat itu tidak dapat disangkal selepas Thailand muncul juara Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 sekali gus merangkul kejuaraan buat kali ketujuh sejak kejohanan tersebut mula dipertandingkan pada 1996.

Selain daripada tujuh kejuaraan itu, skuad Gajah Perang tersebut turut pernah bergelar naib juara pada edisi 2007, 2008 dan 2012.

Malah, ia juga merupakan kali kedua berturut-turut Polking berjaya menjulang Piala AFF selepas membawa Thailand mengecapi nikmat tersebut pada tahun lalu di Singapura.

“Gelaran juara ini sangat penting bagi Thailand,” ujar Polking bercakap dalam sidang media selepas perlawanan menurut sumber VN Express.

Kredit Foto: Changsuek

“Kami sentiasa merupakan pasukan nombor satu dan mahu pergi lebih jauh melangkaui tahap di Asia Tenggara.”

“Thailand perlu membuktikan kemampuan kami dalam pertandingan yang lebih besar seperti Piala Asia dimana terdapat pasukan-pasukan kuat seperti Jepun, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).”

“Kami perlu mencuba dengan lebih keras dan terus meningkatkan lagi prestasi pasukan,” tambah Mano Polking lagi.

Selepas seri 2-2 pada aksi pertama yang berlangsung di Hanoi, gol tunggal ketua pasukan, Theerathon Bunmathan ketika aksi timbal balik sudah cukup untuk mengesahkan kejuaraan bermakna buat Changsuek.

Lebih manis, ia diraikan dihadapan para penyokong setia mereka yang membanjiri Stadium Thammasat, Pathum Thani.

 

Sumber