Pengarah bola sepak Manchester United John Murtough mendedahkan bahawa pihaknya sebelum ini tidak tergesa-gesa membuat keputusan mengenai perlantikan pengurus tetap kerana menghormati dan mahu menjaga hati Ole Gunnar Solskjaer yang merupakan legenda kelab.
Oleh sebab itu, mereka tidak terfikir sama sekali untuk menyenaraikan nama calon pengurus baharu untuk menggantikan Ole ketika pengurus itu mengendalikan Manchester United. Sebagaimana yang sering dilakukan kelab lain dan Man United sendiri. Akan ada senarai beberapa nama yang sedia untuk dihubungi jika ada krisis prestasi pada pengurus mereka.
Ketika Ole dipecat, Man United hanya ada pilihan untuk melantik pengurus interim kerana mereka tidak menyangka sama sekali akan terpaksa memecat Ole.
Ole sudah diberikan sokongan dan jaminan bahawa beliau akan terus kekal walaupun beberapa keputusan buruk dicatatkan terutama sekali kekalahan di tangan Liverpool dan Manchester City.
Namun akhirnya, Manchester United memutuskan memecat Solskjaer pada 20 November. Solskjaer kehilangan jawatannya setelah kalah 1-4 di tangan Watford.
Manchester United pada mulanya melantik Michael Carrick untuk mengendalikan kelab sementara berusaha mencari pengurus interim yang sebenar. Dan kini, Red Devils sudah mempunyai pengurus sementara iaitu Ralf Rangnick.
Ramai juga yang kehairanan kenapa Manchester United tidak mencari sahaja pengurus tetap? Ini kerana ramai pengurus yang mereka mahukan tidak mahu datang kerana jawatan interim.
Antaranya Mauricio Pochettino yang dikatakan hanya mahukan jawatan tetap.
Rangnick akan menjadi pengurus interim Red Devils sehingga akhir musim ini. Selepas itu, beliau akan memegang jawatan sebagai perunding pembangunan kelab selama dua tahun.
Mauricio Pochettino dan Erik ten Hag dikatakan dua nama utama yang dimahukan oleh Manchester United.
Walaubagaimanapun, Murtough berkata Manchester United tidak mahu tergesa-gesa melantik pengurus baharu demi menghormati Ole yang sudah menyediakan projek United untuk musim ini.
“Untuk menghormati Ole, kami tidak mendekati pengurus lain sebelum dia pergi,” kata Murtough kepada ESPN.
“Rancangan kami pada masa itu adalah untuk melantik pengurus sementara yang berpengalaman dan Ralf adalah pilihan pertama kami yang pasti.”
“Dia seorang yang saya kagumi sejak sekian lama dan kami gembira dia berada di sini.”
“Dengan menandatangani Ralf, kami kini boleh meluangkan masa untuk menjalani proses penuh bagi pengurus tetap kami yang seterusnya.”
“Merekrut pengurus adalah salah satu keputusan paling penting yang dibuat oleh kelab bola sepak, jadi kami mahu melakukannya dengan berhati-hati dan pertimbangan,” sambung Murtough.