Manchester City kini benar benar serius mahu mendapatkan Erling Haaland. Di mana Man City dikatakan mencapai persetujuan terma peribadi dengan Haaland yang diwakili ejennya, Mino Raiola.
Menurut laporan Sportsmail, Man City sedia membayar Haaland gaji £500,000 seminggu – untuk menjadikannya pemain EPL dengan gaji tertinggi, mengatasi Cristiano Ronaldo yang kini menerima £480,000 seminggu.
Manchester City juga akan mengaktifkan klausa pelepasan Haaland yang cuma bernilai £63 juta.
Klausa tersebut adalah sebahagian daripada syarat diletakkan Mino Raiola ketika dia berunding dengan Dortmund satu ketika dahulu. Klausa itu akan teraktif bermula 2022. Kegagalan Borussia Dortmund menjual Haaland dengan harga lebih tinggi sebelum klausa itu aktif membuatkan mereka terpaksa melepaskan pemain berusia 21 tahun itu jauh lebih murah.
Minggu lalu Dortmund menafikan bahawa ada sebarang kesepakatan dicapai dengan kelab lain berkaitan dengan Haaland.
Dortmund juga menyatakan bahawa mereka bukan berunding dengan satu kelab sahaja ketika ini. Selain City, mereka juga berunding dengan Real Madrid dan Paris Saint-Germain yang turut berminat dengan Haaland.
Borussia Dortmund malah memberitahu kepada penyokong mereka, masih tidak ada yang mustahil, Haaland akan terus kekal dan menandatangani kontrak baharu.
Namun ketika ini Manchester City benar benar yakin pemain itu akan menjadi milik mereka. Sekaligus melupakan Harry Kane yang sebelum ini gagal dibawa masuk ke Etihad selepas Levy berkeras tak mahu menjual pemain itu kepada kelab Inggeris.
Sedangkan sebelum itu Levy dikatakan pernah membuat kesepakatan verbal dengan Kane bahawa dia akan merelakan pemain itu pergi jika dalam masa 3 tahun, selepas Kane melanjutkan kontrak, Spurs masih gagal memenangi trofi.
Man City dikatakan masih berusaha membeli Kane pada musim akan datang. Namun kini City sudah sedia melupakan Kane dan mendapatkan Erling Haaland.