Piala yang diidamkan Manchester City sejak sekian lama akhirnya menjadi milik mereka la selepas The Cityzens mengesahkan status selaku pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23, sebentar tadi.

Baca Juga:

Kejuaraan itu berada dalam genggaman skuad Manchester City selepas anak buah Pep Guardiola tersebut menumpaskan Inter Milan 1-0 hasil jaringan tunggal Rodri dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik Ataturk, Turki.

Lebih manis, ia juga merupakan kejuaraan ‘Treble’ buat Manchester City pada musim ini selepas mereka sebelum ini menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.

Mendominasi aksi sebaik wisel permulaan ditiup pengadil dari Poland, Szymon Marciniak, Manchester City mendapat peluang menerusi Erling Haaland yang menerima lorongan cantik Kevin De Bruyne pada minit ke-27.

Namun, percubaan leret peledak berbisa Manchester City itu diselamatkan dengan baik penjaga gol Inter Milan, Andre Onana.

De Bruyne kemudiannya turut menguji gawang Inter Milan tetapi Onana lebih bersedia untuk menafikan percubaan tersebut berselang dua minit kemudian.

De Bruyne bagaimanapun terpaksa meninggalkan padang dengan pantas apabila kecederaan dialaminya memaksa beliau digantikan dengan Phil Foden pada minit ke-35.

Jaringan yang dinantikan kem City hadir pada minit ke-68 selepas percubaan ‘placing’ Rodri setelah menerima umpanan ‘cutback’ daripada Bernardo Silva hanya mampu dipandang pertahanan Inter Milan serta Onana.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Simone Inzaghi pantas memberikan reaksi balas tetapi tandukan lambung Federico DiMarco terkena palang manakala tandukan susulan dilakukannya terkena Romelu Lukaku dalam kawasan penalti lawan pada minit ke-71.

Kemudiannya, Lukaku pula hampa apabila percubaan leret dan tandukan bebasnya pada minit ke-88 dinafikan Ederson Moraes dan kemudiannya Ruben Dias mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk memastikan gelaran UCL pertama dimenangi oleh Manchester City dalam sejarah kelab tersebut.