Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memberi teguran kepada pengendali Tajikistan, Petar Šegrt sebelum perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 antara kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.

Baca Juga:

Ketika sidang media sebelum perlawanan, Petar menegaskan pasukannya akan beraksi tanpa 15 pemain utama kerana tidak mendapat pelepasan dari kelab dan membawa rata-rata pemain muda untuk beraksi dalam kejohanan edisi kali ini.

Perkara ini nyata tidak disenangi oleh Pan-gon dimana beliau berpendapat jurulatih dari Croatia itu tidak sepatutnya merungut mengenai pemain yang berada dalam pasukannya.

“Kenapa dia menangis sebelum perlawanan bermula? Ini adalah satu tabiat yang tidak baik kerana dia memberikan alasan sebelum perlawanan bermula. Sebagai ketua, saya tidak akan bercakap seperti ini.

“Kita mesti percaya pada pemain yang kita ada, pasukan kita kerana apa yang kita miliki adalah yang terbaik. Pemain perlu berada pada tahap yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan,” kata Kim Pan-gon.

Pada masa yang sama, Petar Šegrt turut memuji prestasi yang ditampilkan oleh Malaysia sejak dua tahun kebelakangan ini apabila dibimbing oleh Pan-gon.

“Malaysia meningkat naik sejak dua tahun kebelakangan ini dan ada sebab disebalik kejayaan ini. Menurut saya, yang pertama ialah ketua jurulatih (Kim Pan-gon), sokongan dari badan bola sepak negara anda (FAM) dan anda banyak melabur dalam bola sepak.

“Anda sudah bermain dalam 22 perlawanan antarabangsa atau lebih sebelum ini. Manakala saya hanya akan beraksi 16 perlawanan, dan 15 daripadanya kami beraksi di luar negara. Hanya satu perlawanan di tempat sendiri ketika menentang Russia.

“Malaysia banyak membuat pelaburan dalam bola sepak dan itu adalah sebab mengapa anda berjaya.,” katanya.