Rapid KL mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil telah dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam bersempena perlawanan penting Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di antara Malaysia menentang Singapura yang berlangsung pada malam esok (selasa) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Baca Juga:
- Piala AFF 2022: Thailand Mahu Jumpa Harimau Malaya Di Separuh Akhir
- Vietnam vs Malaysia: Golden Star Warriors Hampakan Harimau Malaya
- Piala AFF 2022: Harimau Malaya Tiada Masalah Berlatih Sebelah ‘Mesin’
Pengendali perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) itu berkata, stesen-stesen lain akan ditutup seperti biasa, namun penumpang boleh meneruskan perjalanan ke laluan lain dan keluar di stesen.
Malah, setiap penyokong Harimau Malaya juga diwajibkan memakai pelitup muka ketika berada dalam LRT. Tanpa pelitup muka, anda tidak dibenarkan masuk ke sistem pengangkutan awam tersebut.
Ayuh Malaysia kita turun beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada Pasukan #HarimauMalaya pada 3 Januari nanti!
Operasi Stesen LRT BukitJalil akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam. pic.twitter.com/SAFEgc6aXS
— Ask Rapid KL (@askrapidkl) January 1, 2023
Lebih 40,000 penyokong dijangka akan membanjiri SNBJ kerana perlawanan itu cukup penting bagi menentukan kemaraan skuad negara ke peringkat separuh akhir.
Pengangkutan LRT menjadi pilihan utama penyokong untuk hadir ke stadium bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Selain itu, para penyokong juga disaran menggunakan kad Touch ‘n Go untuk memudahkan urusan perjalanan pergi dan balik. Pastikan baki kad anda mencukupi untuk kelancaran perjalanan.
Para penyokong boleh mendapatkan tiket perlawanan menerusi laman web TicketHotline. Sokongan padu daripada peminat akan membantu skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi terbaik bagi memburu 3 mata penuh.
Malaysia wajib mencatat kemenangan kerana Singapura kini berada di kedudukan kedua dalam kumpulan B dengan 7 mata apabila berjaya mengikat Vietnam tanpa jaringan kelmarin.
Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.
Ayuh! Kita memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya!