Kapten Manchester United, Harry Maguire telah berjanji untuk mengembalikan semula senyuman di wajah penyokong Manchester United selepas diaibkan oleh Manchester City dalam aksi derbi Manchester.
Maguire sedar bahawa, hati penyokong United hancur luluh selepas mereka ditewaskan oleh City 4-1 di Etihad.
Maguire bagaimanapun percaya para penyokong Manchester United akan terus memberikan sokongan padu kepada pasukan mereka. Jadi, kini tiba giliran para pemain untuk membalas sokongan itu.
“Mereka menyanyi, mereka bertepuk tangan untuk kami pada penghujung permainan. Peminat kami luar biasa dan saya akan sentiasa berkata, mereka adalah penyokong terbaik di dunia.”
“Kami kecewa kerana kami tidak dapat memberi mereka sesuatu untuk menggembirakan mereka hari ini. Malah musim ini kami belum cukup bagus dalam Liga Perdana Inggeris,” kata Maguire ketika ditemuramah oleh media rasmi Manchester United.
Maguire bertekad akan menebus kekalahan itu dengan aksi cemerlang berdepan dengan Tottenham Hotspur pada Sabtu ini.|
“Kami perlu memastikan bahawa sepanjang musim ini kami akan dapat memberikan senyuman di wajah mereka kerana saya tahu ia adalah situasi yang sukar untuk mereka sekarang.”
“Kami perlu memastikan kami dapat mendapatkan keputusan positif menentang Tottenham minggu depan dan mengembalikan senyuman di wajah penyokong dengan kemenangan,” kata Maguire.
Maguire mengakui bahawa kekalahan 4-1 kepada Man City menyebabkan dia dan rakan sepasukannya menjadi sangat kecewa.
“Ini adalah keputusan yang mengecewakan untuk pemain, kelab, peminat dan semua yang terlibat.”
“Kami datang ke perlawanan ini setelah memberikan segala-galanya, bekerja keras tanpa putus asa dalam persiapan, dan kami mempunyai keyakinan untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam perlawanan ini.”
“Jadi, sudah tentu, ia sangat mengecewakan apabila kami akhirnya mendapat keputusan seperti ini,” kata Maguire.