Penyerang berbisa Atletico Madrid, Luis Suarez mendedahkan amat sukar baginya untuk sekali lagi beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) melainkan beliau kembali menyarung jersi Liverpool.

Empat musim bersama Liverpool, penyerang berusia 34 tahun itu membuktikan kualiti hebat dimilikinya dengan meledakkan 82 gol serta mencipta 48 bantuan jaringan dalam 133 penampilan di semua pertandingan.

Meskipun hanya mampu menghadiahkan kejuaraan Piala Liga 2011/12 buat Liverpool dan lebih mengecapi kejayaan gemilang bersama Barcelona tetapi rasa cintanya terhadap kelab Merseyside tersebut tidak pernah pudar.

Ia jelas dibuktikan apabila kenyataannya di laman Sport Bible yang mengatakan bahawa beliau tidak akan bersama pasukan lain dalam saingan EPL selain daripada Liverpool.

“Bermain bersama pasukan selain daripada Liverpool di England [merujuk EPL] adalah satu perkara yang sukar,” ujar Suarez.

“Saya pernah dan masih berharap agar saya masih mempunyai hubungan baik dengan peminat Liverpool sehingga amat pelik bagi saya untuk bermain dengan pasukan lain [dalam saingan EPL].”

“Sangat istimewa sekiranya dapat memenangi kejuaraan liga bersama Liverpool, tetapi saya berasa gembira kerana akhirnya penantian mereka telah berakhir.”

“Mereka kelihatan seperti pasukan yang akan bersaing selama beberapa musim yang akan datang walaupun ini bukan yang terbaik untuk mereka.”

“Mereka kembali ke tempat asal mereka [sebagai pasukan elit di England],” tambah Suarez lagi.

Dalam perkembangan lain, Suarez yang sebelum ini secara terang-terangan meluahkan kekecewaannya selepas terpaksa meninggalkan Barcelona kini dilihat cukup gembira untuk kekal membawa cabaran Atletico Madrid.

Pada usia 34 tahun, Suarez masih mampu menjelmakan bisanya dalam merobek gawang lawan apabila berupaya menjaringkan 21 gol sekali gus membantu kelab yang dibimbing Diego Simeone itu menjulang trofi La Liga musim ini.

Baca artikel lain mengenai Luis Suarez:

Luis Suarez: Ronald Koeman Tak Berani Nyatakan Kebenaran

Luis Suarez Luah Kekecewaan, Anggap Barcelona Perlu Hormati Dirinya

Messi Dengan Terbuka Kutuk Cara Barcelona ‘Kick’ Luis Suarez

Sumber