Pengurus skuad kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique tetap memuji persembahan anak buahnya meskipun La Rojas tersingkir di pusingan 16 Piala Dunia 2022 selepas tunduk 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti bertemu Maghribi, malam tadi.
Baca Juga:
- Morocco vs Sepanyol: Singa Atlas Baham La Roja
- Enrique Dedah Langkah Awal Tak Mahu Sepanyol Kecewa Dalam Penentuan Sepakan Penalti
- Sepanyol vs Costa Rica: La Roja Mulakan Aksi Piala Dunia Dengan Pesta Gol
Terikat tanpa jaringan pada 120 minit perlawanan menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti sekali gus menyaksikan Pablo Sarabia, Carlos Soler serta Sergio Busquets gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti.
Kekalahan itu menjadikan edisi kedua berturut-turut Sepanyol gagal untuk melepasi peringkat 16 selepas mereka turut tewas menerusi sepakan penalti ketika bertemu tuan rumah, Rusia pada 2018.
“Kami mendominasi sebahagian besar permainan tetapi ketandusan jaringan,” ujar Enrique menurut laporan dikeluarkan FotMob.
“Kami mencipta peluang , menunjukkan perkembangan baik tetapi kami bertemu dengan lawan yang beraksi pada tahap yang tinggi [merujuk kepada Maghribi].”
“Kami boleh mencipta lebih banyak peluang dan menjadi lebih efisien tetapi saya gembira dengan pasukan saya. Mereka mewakili saya dan mewakili cara yang saya ingin praktikkan dan saya hanya boleh memuji mereka.”
“Saya sangat gembira dengan profil pemain yang saya ada dalam skuad ini. Saya tidak akan menukarkan mereka, saya mahu bersama mereka sehingga ke akhirnya.”
“Jika sesiapa yang bertanggungjawab, ia adalah saya. Ini merupakan sukan, tiada gunanya kita menyalahkan diri sendiri,” tambah Luis Enrique lagi.
Dalam masa yang sama beliau turut memuji kecemerlangan yang ditampilkan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou atau lebih dikenali sebagai Bono.
“Bounou merupakan pemain terbaik perlawanan dan dia adalah seorang penjaga gol yang hebat.”
“Dia seorang yang hebat seperti yang saya tahu secara langsung. Dia menunjukkan keupayaan untuk membuat keputusan dengan cepat dalam sepakan penalti dan dia berhak untuk menjadi pemain terbaik perlawanan.”