Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melalui pengumuman rasmi oleh Pengarah Teknikal Kelab, Alistair Edwards mengumumkan beberapa perubahan baru yang dilakukan bagi menghadapi musim baru 2019.
Melalui kemaskini terbaru dilaman sosial rasmi Johor Southern Tigers, pihak kelab telah melantik bekas pemain import mereka, Luciano Figueora sebagai pengurus baru JDT sambil dibantu oleh 2 lagi Benjamin Mora dan Hamzani Omar.
Ketiga-tiga mereka akan dihantar menyertai kursus kejurulatihan di beberapa buah kelab diluar negara seperti Atletico Madrid, Manchester City dan Wolverhampton Wanderers bagi menaikkan lagi taraf kejurulatihan.
Selain itu, Ervin Boban pula dinaikkan pangkat jurulatih ke JDT II dari JDT III. Manakala kapten JDT II, Shakir Shaari pula akan dihantar menjalani kursus kejurulatihan untuk menjadi pembantu Ervin Boban di JDT II. Marcos Antonio juga akan dihantar berkursus selepas beliau mengumumkan persaraan dari karier bola sepak.
Pihak kelab JDT juga menyampaikan setinggi penghargaan kepada Raul Longhi, Rui Rodrigues dan Ismail Ibrahim atas khidmat yang cemerlang selama ini bersama kelab.
Menurut kenyataan itu juga, ini adalah perancangan kelab dari awal musim tetapi kelab tidak mahu mengumumkannya kerana menunggu waktu yang tepat. Ini adalah masa yang paling tepat demi melakukan persiapan untuk Liga Juara-Juara Asia 2019 dan cabaran tahun-tahun akan datang.