Pengurus Johor Darul Ta’zim, Luciano Figueroa atau yang lebih mesra dengan panggilan Lucho mahu pasukan bimbingannya menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan mengekalkan rekod tanpa kalah seperti yang dicapai oleh kelab tersebut pada musim 2016 lalu.
Setelah membenam Melaka United dengan keputusan 2-1 pada perlawanan di Stadium Hang Jebat semalam, Luciano menegaskan pemainnya menampilkan aksi yang cemerlang dengan mengawal sebahagian besar permainan. Beliau turut lega apabila anak-anak buahnya mencipta banyak peluang dan berjaya menjaringkan gol sekaligus memastikan trofi Liga Super kekal di bumi Johor.
🎉 Suasana meriah dalam bilik persalinan Johor Darul Ta'zim selepas kemenangan malam ini mengesahkan bahawa pasukan Harimau Selatan menjuarai Liga Super 2019 buat kali ke-6 berturut-turut!#LigaSuper2019 pic.twitter.com/UehGzQacND
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 26, 2019
“Kami berjaya mengutip tiga mata dan saya boleh katakan kami adalah pasukan juara. Saya berbangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh pemain saya dari awal musim sehingga ke saat ini. Saya mahu mengucapkan tahniah kepada mereka,” kata Lucho pada sidang media semalam.
Ketika ditanya mengenai sasaran seterusnya selepas memenangi Liga Super, bekas penyerang Johor Darul Ta’zim ini mahu pasukannya untuk memenangi baki empat perlawanan Liga sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah.
“Kami masih mempunyai baki empat perlawanan Liga. Kami akan cuba sedaya-upaya untuk memenangi kesemua perlawanan sekaligus menamatkan saingan dengan rekod tanpa kalah. Jika tidak berjaya, kami telahpun muncul sebagai juara. Jika kita berjaya melakukannya, maka saya akan berasa gembira,” tambahnya.
Untuk rekod, Johor Darul Ta’zim pernah memenangi Liga Super musim 2016 tanpa mengalami sebarang kekalahan. JDT mencatat 18 kemenangan dan 4 keputusan seri pada musim tersebut. Ketika itu skuad Harimau Selatan dibimbing oleh Mario Gomez, jurulatih yang turut menghadiahkan Piala AFC untuk JDT pada tahun sebelumnya.