Liverpool terus menghidupkan impian mereka untuk beraksi di pentas Eropah musim hadapan dengan kemenangan dramatik ke atas Tottenham.

Liverpool meraikan kepulangan semula Luis Diaz ke dalam kesebelasan utama pasukan mereka, selepas beberapa aksi sebagai pemain gantian.

Dalam aksi di Anfield, Diogo Jota meledakkan kemenangan dramatiknya, serta merta sejurus selepas Richarlison menanduk masuk gol penyamaan masa kecederaan.

Richarlison sempat melakukan tarian burung ikoniknya dan meminta Anfield diam.

Namun ternyata Richarlison hanya mampu memegang kepalanya selepas Jota memberikan penamat blockbuster kepada Liverpool.

Permulaan cemerlang Liverpool

Curtis Jones dan Luis Diaz meletakkan Liverpool 2 gol di hadapan hanya dalam masa 5 minit.

Ianya isyarat buruk buat Spurs yang sebelum ini dibelasah Newcastle 6-1 dan kemudian berhempas pulas untuk seri di Old Trafford.

Penalti Mohamed Salah melanjutkan permulaan dominan Liverpool pada separuh masa pertama.

Liverpool sangat baik pada separuh masa pertama dan kelihatan akan dengan mudah meraih 3 mata.

Namun separuh masa kedua adalah kisah kebangkitan Spurs mengejar 3 gol.

Harry Kane mengurangkan defisit dengan gol ke-208 Liga Perdana Inggeris.

Penyerang Tottenham itu kini setaraf dengan Wayne Rooney sebagai penjaring kedua tertinggi sepanjang zaman dalam Liga Perdana Inggeris di belakang Alan Shearer.

Jaringan Kane disusuli gol lewat Son Heung-min yang memberikan gerak isyarat mahukan permainan disambung segera.

Aksi kemenangan dramatik minit akhir

Richarlison kemudian berjaya menyamakan kedudukan menjadi 3-3 pada masa kecederaan yang sarat dengan drama.

Selepas Richarlison menjaringkan gol itu, Liverpool terus mengasak terus menjaringkan gol kemenangan dramatik menerusi Diogo Jota yang merembat rendah.

Tamat perlawanan Liverpool 4 Tottenham 3 selepas aksi yang sangat dramatik.

Selepas tamat perlawanan, pengurus interim Spurs mempersoalkan keberadaan Diogo Jota di atas padang.

Kerana menurut Ryan Mason, pemain itu jelas sekali melakukan kesalahan kad merah yang ketara.