Pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi menjadi mangsa kecaman penyokong Terengganu (TFC) apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi separuh akhir Piala FA 2023 menentang KL City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam.

Artikel Berkaitan:

Ketika sepakan penalti pemain import KL City, Marko Zirdum berjaya dinafikan oleh penjaga gol TFC, Suhaimi Husin, Liridon mensia-siakan peluang keemasan dengan melakukan sepakan lemah yang mudah ditepis oleh penjaga gol KL City, Azim Al Amin.

Tindakan Liridon atau dikenali sebagai Mat Don itu telah menghampakan lebih 20,000 penyokong TFC yang memenuhi setiap penjuru stadium demi memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.

Kemaraan TFC ke pentas final tidak menjadi kenyataan apabila KL City muncul sebagai pemenang menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedudukan hingga masa tambahan terikat tanpa jaringan.

Sebelum itu, seorang lagi pemain TFC, Nik Sharif Haseefy turut gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Rata-rata penyokong TFC menghamburkan kata-kata makian terhadap Liridon Krasniqi di laman media sosial kerana dianggap sebagai punca utama kegagalan pasukan itu ke final.

Malah, Liridon bukan sahaja gagal menyudahkan penalti tetapi turut dikatakan tidak mempamerkan persembahan yang diharapkan sepanjang 90 minit perlawanan.

Sebelum ini, beliau pernah dikritik kerana prestasi hambar ketika bersama skuad Harimau Malaya.

Ada juga penyokong mahu pengurusan TFC menamatkan kontrak pemain kelahiran Kosovo itu walaupun baru sahaja menyertai pasukan itu secara pinjaman dari Johor Darul Tazim (JDT).

Tiada mana-mana pemain mahu pasukannya kalah dan kegagalan menyudahkan sepakan penalti dalam perlawanan penting adalah lumrah dalam sukan bola sepak.