Seramai lima pemain tersenarai bagi anugerah Pemain Terbaik Liga Super bagi edisi Februari/Mac 2023 anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Baca Juga:
- Aksi Arif Aiman Bertengkar Dengan Lim Teong Kim Curi Perhatian
- Malaysia vs Hong Kong: Faisal Halim Teruja Dapat Jaringkan Gol
- Forestieri Pandang Tinggi Kemampuan Pemain Muda Perak
Lima pemain menjadi pilihan panelis PFAM setelah menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super bersama kelab masing-masing setakat enam perlawanan yang dihadapi. Berikut adalah senarai pemain yang terpilih.
1. Ramadhan Hamid (PDRM FC)
Persembahan Ramadhan di pintu gol nyata menjadi penyebab mengapa PDRM berjaya memberikan saingan kepada pasukan-pasukan lain dalam Liga Super. Mencatatkan ‘clean sheet’ ketika bertemu Perak dan Kedah, jelas sekali pemain ini adalah bintang terbaik PDRM pada bulan ini.
2. Fernando Forestieri (Johor Darul Ta’zim)
Enam gol dan empat bantuan jaringan dalam enam aksi Liga Super sudah cukup membuktikan bahawa pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT) ini berada pada prestasi terbaiknya.
Malah, Forestieri turut meledak dalam setiap empat perlawanan terakhir JDT dalam saingan liga, sekaligus membantu skuad itu memimpin liga dengan rekod kemenangan bersih.
3. Park Tae Soo (Sabah FC)
Tae Soo terus menjadi antara tonggak penting Sabah musim ini dengan dia sudah meledak empat gol buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Bukan sahaja berjaya menyumbang jaringan penting buat Sabah, pemain Korea Selatan itu turut memainkan peranan dengan baik dalam menggerakkan jentera serangan dan membantu bahagian pertahanan.
4. Faisal Halim (Selangor FC)
Kepantasan Faisal beraksi untuk Selangor nyata menjadi bahaya buat pasukan lawan dan ini terbukti menerusi persembahan beliau pada bulan ini. 3 bantuan gol dan 1 jaringan dihasilkan membuatkan pemain ini nyata bahaya untuk mana-mana pihak lawan.
5. Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim)
Arif Aiman berjaya mengekalkan momentum prestasinya dan turut mempamerkan persembahan cemerlang bersama JDT dalam enam perlawanana awal musim ini.
Berjaya meledak empat gol dan melakukan tiga bantuan jaringan meletakkan penyerang berusia 20 tahun itu sebagai pemain tempatan paling menyerlah dalam liga setakat ini.
Anda boleh mengundi pemain terbaik bagi edisi Februari/Mac pilihan anda di sini.