Ketua jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim memberi jaminan bahawa beliau akan terus bekerja keras selama menjadi pengendali pasukan bagi memastikan pemain muda Perak dapat beraksi di peringkat tertinggi.
Baca Juga:
- Lim Teong Kim Harap Penyokong Perak Bersabar Dan Tunggu Hasilnya
- Pengerusi Perak FC Mohon Maaf Isu Tindakan Lim Teong Kim
- Khalid Jamlus Bersuara Mengenai Situasi Semasa Perak, Beri Pendapat Mengenai Lim Teong Kim
Menurut Teong Kim, beliau lebih mementingkan pembangunan pemain muda yang jelas sering terlepas pandang dalam saingan Liga Malaysia dan mahu melihat pemain muda tempatan mendapat tempat dalam saingan liga dan seterusnya beraksi bersama skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.
“Sudah tentu, saya juga mahukan kejayaan. Anda fikir saya tak tahu caranya untuk pasukan menang selalu? Tapi ini bukan berkisar mengenai Lim Teong Kim. Saya lakukan semua ini untuk kebaikan pemain-pemain muda tempatan dan masa depan mereka bersama skuad negara.
“Saya tidak pernah berasa takut untuk gagal dalam jangka masa singkat asalkan pemain-pemain muda di bawah jagaan saya mendapat kebaikan dan manfaat daripada peluang beraksi dalam Liga Super yang saya berikan mereka,” katanya.
Tambah bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) itu, beliau mahu sejarah yang menilai apabila memutuskan untuk meninggalkan pasukan Perak satu hari nanti.
“Saya seorang jurulatih profesional dan saya tidak bercadang untuk kekal selama yang boleh dengan sebuah pasukan. Tapi sepeninggalan saya nanti, saya mahu berasa puas yang saya sudah melakukan yang terbaik buat pasukan dan pemain-pemain muda di dalamnya.
“Dan saya akan terus membuat kerja saya bersama pemain-pemain muda tempatan selama mana saya dibenarkan. Pada penghujungnya nanti, biarlah sejarah yang menghakimi sama ada saya sudah melakukan kerja-kerja saya dengan baik atau tidak, terutama jika pemain yang pernah saya asuh dapat mewakili skuad kebangsaan,” sambung Teong Kim yang berterima kasih kepada pemain-pemainnya dan penyokong yang terus setia bersama pasukan,” tambahnya.
Banyak liku-liku yang dihadapi oleh Perak dan Teong Kim musim ini bermula dengan prestasi yang kurang menentu dalam saingan liga selain kontroversi yang dilakukan oleh jurulatih itu semasa ditemu bual wartawan selepas tewas besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).