Dua tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid dan Dion Cools menerima pengiktirafan daripada Liga Thailand apabila dipilih dalam kesebelasan utama ‘Skuad Impian Asean’ bagi musim ini.

Perkembangan itu dikongsikan oleh laman sosial rasmi Thai League menerusi satu poster yang menampilkan Cools membarisi benteng pertahanan sementara Safawi mengisi bahagian sayap kiri.

Antara pemain Asean yang lain turut berada dalam barisan tersebut ialah Dang Van Lam (Vietnam), Amani Aguinaldo (Filipina), Irfan Fandi (Singapura), Soukaphone Vongchiengkham (Laos), Irfan Bachim (Indonesia), Faiq Bolkiah (Brunei), Aung Thu (Myanmar), Ikhsan Fandi (Singapura) dan Jesse Curran (Filipina).

Cools antara pemain yang menyerlah selepas membantu Buriram United meraih gelaran ‘treble’ pada musim ini. Secara keseluruhan, beliau telah mengutip minit permainan sebanyak 1,679 dan beraksi dalam semua pertandingan.

Bagaimanapun, beliau belum menjaringkan sebarang gol dalam 21 perlawanan yang diharungi.

Selain memenangi trofi, Cools juga tersenarai dalam kesebelasan terbaik Liga Thailand musim ini bersama Michael Falkesgaard (Bangkok United), Rebin Sulaka, Theerathon Bunmathan, Supachai Jaided, Suphanat Mueanta (Buriram United) dan Samuel Rosa (PT Prachuap).

Safawi pula menyertai Ratchaburi FC secara pinjaman dari JDT dan beraksi dalam 16 perlawanan. Beliau juga sempat meledak satu gol ketika membantu kelabnya menewaskan Chonburi 2-1.

Bekas pemain T-Team FC itu pernah tersenarai dalam kesebelasan terbaik mingguan dalam saingan Liga Thailand. Beliau menyertai beberapa pemain lain seperti Lonsana Doumbouya (Buriram United), Tyronne del Pino (Nakhon Ratchasima) Jorge Fellipe (Lampang) dan Airton Tirrabasi (Port).

Bagaimanapun, ‘jodohnya’ bersama Ratchaburi tidak panjang selepas dia kembali ke JDT pada Mei lalu.