Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang dengan rekod tanpa kalah apabila menewaskan Selangor 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim.

Baca Juga:

Bagaimanapun, kemenangan mereka tidak mudah kerana Selangor berjaya menyukarkan jentera serangan Harimau Selatan dalam mencari jaringan awal.

Malah, JDT juga turun tanpa kelibat penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Fernando Forestieri yang disahkan mengalami kecederaan ketika aksi final Piala FA menentang KL City minggu lepas.

Walaupun Selangor menurunkan penyerang import baharu, Richmond Boakye namun pemain itu gagal mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan sehingga mengundang kritikan dalam kalangan penyokong.

Bekas penyerang Juventus itu sebelum ini mengakui tidak sabar jumpa JDT dan menganggap ia cabaran yang besar untuk menundukkan pendahulu Liga Super itu.

Pada minit ke 29, Selangor sepatutnya memperolehi gol pertama namun tandukan Safuwan Baharudin dibatalkan oleh pengadil kerana didakwa mengasari pemain lawan.

Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama selepas kedua-dua pasukan buntu dalam mencari jaringan awal.

Memasuki separuh masa kedua, JDT bangkit dengan lebih garang sehingga memberi tekanan kepada benteng pertahanan Selangor. Kali ini mereka diperkuatkan oleh penyerang import baharu, Heberty Fernandes yang membuat penampilan pertamanya.

Percaturan pengendali JDT, Estabian Solari menurukan Heberty ternyata membuahkan hasil apabila penyerang dari Brazil itu menjaringkan gol pertamanya pada minit ke 79 sekaligus menceriakan ribuan penyokong tuan rumah.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor cuba bangkit namun mereka jelas berdepan masalah ketumpulan penyudah selepas penyerang import dari Ghana, Richmond Boakye dikeluarkan lebih awal di separuh masa pertama kerana mengalami kecederaan.

Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan keputusan 1-0, JDT terus menambah gol kedua pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Bergson.

Penalti diberikan kepada JDT selepas pemain pertahanan Selangor, Harith Haiqal didapati melakukan terjahan terhadap Bergson.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan namun ia tidak mengubah kedudukan Selangor yang masih kekal di tangga kedua Liga Super.