Perak meraih kemenangan ketiga dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 selepas menundukkan Kuching City 2-1 di Stadium Negeri Sarawak, sebentar tadi.

Baca Juga:

Lebih manis, ia merupakan kemenangan pertama Perak dibawah kendalian Yusri Che Lah yang menggantikan Dato’ Lim Teong Kim.

Malah, ia juga kemenangan kedua Perak ke atas lawan sama selepas mereka turut menang di Ipoh 2-0 pada Mac lalu.

Perak yang hadir dengan kehadiran penyerang baharu, Luka Milunovic bermula dengan baik apabila berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-13.

Jaringan tersebut berpunca daripada tandukan pemain tengah, Luciano Guaycochea susulan hantaran Shafizi Iqmal dalam kawasan penalti yang terkena pintu gol lalu bola bergolek masuk untuk meletakkan pasukan pelawat dihadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Irfan Bakti Abu Salim tampil memperkemaskan aksi untuk mendapatkan jaringan hingga usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-32.

Jaringan penyamaan itu menjelma hasil tolakan susulan dilakukan Abu Kamara selepas percubaan awal Yuki Tanigawa terkena tiang gol sekali gus menceriakan penyokong tuan rumah.

Jaringan itu jelas meningkatkan lagi moral para pemain Kuching City apabila Mohamad Alif Hassan memberikan ancaman berbahaya ke kubu Perak.

Tetapi percubaan ‘first timer’ menggunakan kaki kiri daripada jarak jauh itu dinafikan dengan baik penjaga gol Perak, T. Shaheeswaran pada minit ke-42.

Pemain gantian, Seo Seonung muncul wira buat Perak pada minit ke-80 apabila percubaannya daripada luar kawasan penalti selepas menerima hantaran Luciano tidak mampu diselamatkan penjaga gol Kuching City, Shaiful Wazizi Mohammad untuk mengesahkan kemenangan ketiga buat skuad ‘Yob’ itu.

Dengan kemenangan tersebut, Perak masih kekal di tangga ke-10 dengan 13 mata manakala Kuching City pula berada dikedudukan ke-13 hanya dengan enam mata.