Sabah meleburkan rekod lima kemenangan berturut-turut Selangor selepas berjaya meraih kemenangan 2-1 pada aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan penting dilakarkan itu turut merapatkan jurang antara kedua-dua pasukan menyaksikan Sabah (20 mata) yang berada di tangga ketiga hanya dua mata ketinggalan di belakang Selangor.

Aksi menarik ditampilkan dengan Selangor dilihat lebih banyak mencipta peluang terutamanya pada babak pertama dengan beberapa percubaan berbahaya ke kubu Sabah yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Mohamad Faisal Abdul Halim terlebih dahulu memberikan ancaman menerusi rembatan padu daripada luar kawasan penalti, tetapi Khairul Fahmi cemerlang menepis percubaan tersebut pada minit kesembilan.

Berselang 10 minit kemudian giliran Telmo Ferreira Castanheira melakukan percubaan tepat susulan rembatan luar kawasan penalti yang diselamatkan Sam Sommerville.

Penyokong tuan rumah melonjak kegembiraan pada minit ke-24 selepas Saddil Ramdani berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Sabah di hadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Tan Cheng Hoe kembali menggandakan asakan dan Faisal Halim jelas menjadi masalah buat para pemain Sabah.

Kelincahan pemain skuad kebangsaan itu hampir membuahkan hasil tetapi sekali lagi percubaannya daripada jarak jauh dinafikan Khairul Fahmi pada minit ke-39.

Mukhairi Ajmal Mahadi turut terlepas peluang keemasan pada masa kecederaan selepas rembatannya dalam kawasan penalti hasil lorongan baik Faisal Halim sedikit membias terkena kaki pemain pertahanan import, Gabriel Schmegel Peres.

Usaha berterusan Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan Faisal Halim yang pada mulanya terkena palang gol membias terkena badan Khairul Fahmi lalu bola bergolek masuk ke gawangnya pada minit ke-52.

Jaringan kemenangan Sabah hadir pada minit ke-66 selepas Sharul Nazeem Zulpakar tertanduk bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang sepakan percuma diambil Baddrol Bakhtiar.

Jentera pertahanan Sabah kental bertahan untuk memastikan kedudukan 2-1 itu hingga tamat permainan.