Perak terus merasai nikmat kemenangan selepas berjaya menundukkan Penang FC 3-1 pada aksi kesembilan kempen Liga Super Malaysia 2023 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Masih segar dengan kemenangan hasil keputusan sama ketika berhadapan Kedah pada aksi Piala Malaysia minggu lalu, ia jelas meningkatkan moral anak buah Yusri Che Lah itu.

Keinginan untuk melakarkan kemenangan pada perlawanan ini jelas terpancar susulan jaringan seawal minit kelima dijelmakan oleh ketua pasukan, Luciano Guaycochea.

Jaringan itu terhasil selepas rembatan daripada luar kawasan penalti oleh Luciano terus menuju ke gawang Penang yang gagal untuk diselamatkan penjaga gol, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.

Gol itu nyata menyamarakkan lagi api perjuangan barisan pemain Perak yang dilihat lebih selesa mengawal permainan dan sesekali mengancam kubu Penang.

Ia jelas dibuktikan apabila Wan Zack Haikal Wan Noor pula meledakkan rembatan padu daripada luar kawasan penalti setelah menerima lorongan baik Seo Seonung sekali gus menewaskan Azfar Arif.

Memasuki minit ke-35, Luciano sekali lagi menghadirkan bahaya buat pintu gol pasukan pelawat menerusi percubaan jarak jauh. Namun, rembatan pemain import kelahiran Argentina itu ditepis keluar Azfar Arif.

Melihat sukar buat mereka untuk memecah masuk kawasan penalti Perak, Penang cuba mendapatkan peluang menerusi sepakan percuma pemain import, Adriano Aparecido Narcizo.

Bagaimanapun, percubaan pertama pada minit ke-42 oleh Adriano terkena palang dan berselang dua minit kemudian dinafikan penjaga gol Perak, T. Shaheeswaran.

Perak hampir menambah jaringan ketiga pada minit ke-53 tetapi tandukan Sunday Afolabi ketika situasi sepakan penjuru hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Penang.

Muhammad Alifikmal Rizal Anuar memberikan sedikit harapan buat skuad kendalian Chong Yee Fatt pada minit ke-73 selepas beliau mengambil kesempatan di atas kesilapan Shivan Pillay Asokan untuk merapatkan defisit jaringan.

Namun, jaringan kontroversi yang dihasilkan Seo Seonung berselang seminit kemufian ketika beliau dilihat berada dalam kedudukan ofsaid jelas membunuh harapan pemain Penang untuk bangkit.

Kedudukan 3-1 itu kekal hingga tamat permainan bagi menghadiahkan kemenangan keempat buat Perak untuk mengumpul 16 mata, hanya ketinggalan tiga mata dibelakang Penang.