Perlawanan akhir Pial FA edisi tahun ini bakal menggunakan khidmat pengadil dari luar negara sebagai langkah percubaan untuk mengukuhkan lagi institusi pengadilan dalam arena bola sepak tanah air.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata penggunaan pengadil dari luar pada pentas akhir Piala FA merupakan langkah awal dalam melaksanakan pelan yang sudah dirancang sebelum ini.
Menurut Dali, pihaknya belum memutuskan mengenai pengadil dari negara mana yang akan diambil untuk mengendalikan perlawanan akhir tersebut kerana masih lagi membincangkan perkara tertentu.
“Saya sudah berjumpa dengan beberapa pihak dan menyatakan jika mahu memperkasakan lagi mutu pengadilan perlu membawa masuk segera pengadil asing terutama perlawanan akhir Piala FA 2019 nanti.
“Kita tidak mahu lagi peminat bola sepak mempersoalkan kredibiliti. Sebab itu, perlu segera berbuat demikian terutama pada perlawanan penting dalam masa terdekat ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam sebelum ini menegaskan pengadil daripada Liga Perdana Inggeris dan Liga Jepun itu diharap menjadi jalan penyelesaian kepada isu pengadilan yang ditimbulkan selama ini terutamanya perlawanan besar seperti perlawanan akhir bagi merebut Piala FA dan Piala Malaysia.
Tambah Dali, meskipun Liga Malaysia bakal diwarnai oleh pengadil dari luar negara, namun nasib pengadil tempatan masih terbela kerana kehadiran mereka adalah untuk memantapkan lagi institusi pengadilan dan bukan menggantikan mereka.