Dominic Calvert-Lewin menjaringkan dua daripada empat gol separuh masa kedua Leeds ketika mereka bangkit untuk mencatatkan kemenangan 4-2 dalam aksi persahabatan ke atas Liverpool pada Ahad di Soldier Field, Chicago.
Kebangkitan luar biasa itu menyaksikan Liverpool mengalami kekalahan pertama mereka di bawah kendalian jurulatih baharu, Andoni Iraola, yang tiba pada musim panas ini dari Bournemouth bagi menggantikan Arne Slot yang dipecat.
Liverpool telah mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Sunderland dan kemenangan 1-0 menentang Wrexham di Stadium Yankee (Yankee Stadium) dalam dua perlawanan pertama siri jelajah Amerika Syarikat (US) mereka.
Mereka kelihatan menguasai permainan pada Ahad menerusi dua gol pada separuh masa pertama sebelum Leeds bangkit memberikan tentangan sengit terhadap seteru Liga Perdana Inggeris (English Premier League) mereka.
Pemain tengah AS, Brenden Aaronson mencetuskan kebangkitan pada minit ke-60 sebelum Calvert-Lewin menyamakan kedudukan buat Leeds pada minit ke-71, dengan merembat masuk di tiang jauh selepas Joe Rodon menguis lontaran jauh Ethan Ampadu.
Penyudahan kelam-kabut Sean Longstaff pada minit ke-73 memberikan Leeds pendahuluan 3-2, dan Calvert-Lewin menjadikan kedudukan 4-2 menerusi jaringan yang hampir serupa dengan gol pertamanya pada minit ke-85, apabila lontaran ke dalam Ampadu diteruskan oleh Sebastian Bornauw sebelum beliau menanduk masuk bola tersebut.
Kemenangan itu merupakan yang kedua buat Leeds dalam siri jelajah AS mereka, yang bermula dengan kekalahan 2-3 kepada Wrexham di Tampa, Florida sebelum melakar kemenangan 1-0 ke atas Sunderland di New Jersey.
Liverpool membuka tirai jaringan pada minit ketujuh apabila sepakan penjuru Dominik Szoboszlai dikuis oleh Milos Kerkez dan dirembat masuk oleh Luke Chambers dari jarak enam ela.
Florian Wirtz menggandakan kedudukan pada minit ke-40, menyempurnakan hantaran lintang daripada Jeremie Frimpong.
Wirtz dari Jerman merupakan salah seorang daripada trio pemain Piala Dunia yang kembali beraksi untuk Liverpool pada Ahad, bersama-sama Ryan Gravenberch dari Belanda dan Alexander Isak dari Sweden.
𝐋𝐄𝐄𝐃𝐒 𝐓𝐔𝐑𝐍 𝐓𝐇𝐈𝐍𝐆𝐒 𝐀𝐑𝐎𝐔𝐍𝐃 🫨🔁
Liverpool took a 2-0 lead, but Leeds United came back to win 4-2 🤯 pic.twitter.com/rskcia2YVH
— 433 (@433) August 2, 2026