Baru-baru ini, pemain tengah Sri Pahang, Lee Tuck rasmi menjadi warganegara Malaysia selepas beliau menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Perkara ini diumumkan sendiri oleh Tuck di laman media sosial miliknya dimana proses naturalisasinya turut dibantu oleh pengurusan Sri Pahang dan mendapat perkenan daripada pemilik kelab, YAM Tengku Abdul Rahman Al Haj Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
“Saya benar-benar bersyukur menjadi warganegara Malaysia. Ia adalah proses yang sukar dan pelbagai pengorbanan telah dibuat untuk sampai ke tahap ini tetapi ini adalah peluang yang tidak dapat saya lepaskan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan rapat,” tulisnya di laman instagram.
Selepas mendapat kerakyatan, persoalan seterusnya ialah adakah Lee Tuck masih relevan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa memandangkan beliau kini berstatus pemain tempatan.
Jika dilihat dari segi prestasi sepanjang beraksi bersama Sri Pahang sejak musim 2021, tidak banyak yang disumbangkan oleh pemain kelahiran Halifax, England ini terutamanya dari segi kejuaraan. Malah, Tuck juga dianggap tidak menampilkan prestasi yang baik sepanjang bersama kelab dari Pantai Timur itu.
Berbeza dengan rakan sepasukan beliau iaitu Nor Azam Azih yang menjadi pilihan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dalam kesebelaan utama, Azam dilihat lebih menyerlah berbanding Tuck dan sentiasa menonjol walaupun Sri Pahang tidak berada dalam prestasi terbaik.
Faktor lain yang perlu dilihat ialah umur kepada pesaing Tuck di bahagian tengah yang jauh lebih muda dan mendapat minit bermain yang cukup dalam saingan liga seperti Syamer Kutty Abba (24), Nazmi Faiz Mansor (28), Afiq Fazail (27), Zhafri Yahya (27) dan Hong Wan (22) bakal menjadi perbezaan besar dalam mempengaruhi keputusan Pan-gon.
Apa yang pasti, Pan-gon perlu lebih bijak dalam memilih pemain bagi membawa cabaran negara kerana selepas ini skuad Harimau Malaya bakal beraksi di pentas besar seperti temasya Piala asia.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:
Ditegur TMJ Agar Selesaikan Tunggakan Gaji, Ini Jawapan Sarawak United