Pertembungan kedua Liga Super 2023 di antara Kedah Darul Aman (KDA FC) menentang Terengganu (TFC) malam ini menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Malah, laman sosial rasmi KDA FC mengumumkan tiket yang diperuntukkan untuk jualan dalam talian (online) menerusi laman web TicketHotline sudah habis dijual sekaligus menjangkakan ribuan penyokong bakal membanjiri Stadium Darul Aman.
Bagaimanapun, peminat masih boleh mendapatkannya secara fizikal di kaunter tiket di stadium berkenaan yang buka bermula pukul 10.00 pagi hari ini. Namun, hanya 10,000 tiket yang telah diperuntukkan membabitkan harga RM15 (terbuka), RM25 (berbumbung) dan RM35 (grandstand).
Selain itu, KDA FC turut menjual tiket tersebut di daerah lain melalui kedai yang terpilih namun semuanya sudah habis dijual dan mendapatkan sambutan yang hangat dalam kalangan penyokong.
Perlawanan ini juga cukup istimewa kerana ia membabitkan bekas pasukan kendalian Nafuzi Zain yang kini membimbing pasukan Kedah.
Nafuzi telah melatih Terengganu sejak 2017 dan ia akan menggamit semula kenangan ketika bersama pasukan dalam perjuangan memburu kejuaraan.
“Saya anggap perlawanan istimewa kerana TFC adalah pasukan yang pernah saya bimbing dan pernah memberi peluang kepada saya menjadi jurulatih sehinggalah saya menyertai Kedah musim ini.
“Sudah pasti saya juga teruja kerana bakal bertemu kembali dengan pemain dan jurulatih yang sama-sama memberi sokongan dalam membentuk pasukan TFC dan itulah yang menyebabkan saya rasa pertemuan ini mempunyai nilai sentimental,” katanya dalam Berita Harian.
Rekod pertemuan di antara KDA FC dan TFC pada saingan Liga Super musim lalu menyaksikan Sang Penyu memenangi kedua-dua perlawanan dengan keputusan 2-1 dan 3-1 pada 15 Julai dan 15 Oktober tahun lalu.