Pemangku Presiden Bolasepak Sabah, Dato’ Sri Bung Moktar Radin optimis barisan pemain skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu mampu untuk mencatatkan kemenangan bertemu Kedah susulan aksi baik ditampilkan sejak beberapa perlawanan lalu.
Keyakinan itu disuarakan Bung Moktar menurut laporan dikeluarkan Berita Harian (BH Sukan) selepas melihat Sabah mencatatkan tiga kemenangan dan dua keputusan seri pada lima perlawanan terakhir dalam saingan Liga Super Malaysia 2021.
Rentak cemerlang ditampilkan tersebut menyaksikan Sabah kini melonjak ke tangga ketujuh liga dengan mengumpul 16 mata.
Sehubungan dengan itu, Bung beranggapan tiada yang mustahil buat Sabah untuk mencatatkan kemenangan ke atas Kedah di Stadium Likas, malam esok.
“Corak permainan pemain ketika ini khususnya dalam dua perlawanan di halaman sendiri sebelum ini meyakinkan kita untuk memenangi perlawanan lain selepas ini.”
“Jika mereka konsisten dengan corak permainan sedemikian, kita yakin Sabah FC juga boleh mencatat kemenangan dalam pertemuan dengan Kedah,” ujar Bung Moktar kepada wartawan BH Sukan.
Sabah sememangnya berada dalam mood terbaik untuk terus meraih tiga mata penuh selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut di laman sendiri ke atas Perak dan Melaka United.
Pemain berpengalaman, Mohd Amri Yahyah juga mencuri tumpuan apabila tonggak berusia 40 tahun itu telah meledakkan empat gol pada tiga perlawanan terakhir buat Sabah.
Mungkinkah Kedah yang kini menghuni tangga ketiga liga bakal menjadi mangsa seterusnya buat Sabah?
Baca artikel lain dari kami mengenai pasukan Sabah:
Bung Mokhtar Radin Dipilih Sebagai Pemangku Presiden Sabah FA
Kurniawan Dwi Yulianto Kembali Dilantik Sebagai Pengendali Sabah FC
Bung Moktar Beri Amaran Kepada Pemain Yang Calar Imej Sabah FC