Saingan Piala AFF Mitsubishi Electric bakal mempunyai perserta baharu apabila skuad kebangsaan Kyrgyzstan mencapai persetujuan dengan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) untuk menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh badan itu pada masa akan datang.

Baca Juga:

Perkara ini dikongsikan oleh Asean Football di laman X dimana Presiden AFF, Samet Khiev dan Setiausaha Agung badan itu, Winston Lee telah berjumpa dengan Kesatuan Bola Sepak Kyrgyz (KFU) bagi membincangkan tentang peluang negara itu bagi beraksi di rantau Asia Tenggara.

Setelah melakukan perbincangan dan membuat penelitian dari segala aspek, kedua-dua pihak mencapai persetujuan dimana Kyrgyzstan dibenarkan untuk menyertai mana-mana kejohanan yang dianjurkan oleh AFF.

Akan tetapi, ketika artikel ini ditulis masih belum ada butiran jelas mengenai kerjasama antara kedua-dua pihak sama ada negara itu dibenarkan menyertai kejohanan di peringkat senior ataupun di peringkat akar umbi sahaja.

Ketika ini, negara yang turut dikenali dengan nama Republik Kyrgyz itu bernaung dibawah Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA). Baru-baru ini, pasukan itu menduduki tangga keempat dalam saingan CAFA Nations Cup 2023 yang turut disertai Iran, Uzbekistan dan Oman.

Sekiranya Republik Kyrgyz menyertai Piala AFF, maka ini akan memberi cabaran baharu kepada pasukan sedia ada dimana skuad kendalian Štefan Tarkovič itu ketika ini menduduki tangga ke-96 dalam ranking FIFA.

Untuk makluman, Kyrgyzstan berada dalam kumpulan yang sama dengan Malaysia dalam saingan Kelayakan Pusingan Kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang mana akan bermula pada November ini.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada 16 November ini dimana skuad Harimau Malaya menjadi tuan rumah.