Siapa sangka sebuah kelab yang dahulu beraksi dalam saingan amatur iaitu Liga Bola Sepak Rakyat kini mencipta sejarah baharu apabila layak ke kejohanan berprestij, Piala Malaysia buat kali pertama pada musim ini.

Kemenangan 2-1 Kuching City FC ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT II) semalam melonjakkan kedudukan pasukan itu ke tangga kelima Liga Premier 2020 dengan 13 mata sekaligus memastikan slot Piala Malaysia menjadi milik mereka.

Selain Kuching City, 4 lagi slot Piala Malaysia diberikan kepada juara Liga Premier 2020, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan dan satu lagi pasukan akan ditentukan kemudian sama ada Negeri Sembilan, Kelantan United atau UKM FC.

Mereka akan menyertai 11 lagi pasukan Liga Super dan bakal diundi dalam 4 kumpulan.

Berdasarkan format pertandingan, pasukan berstatus ‘feeder club’ tidak layak beraksi dalam kejohanan Piala Malaysia.

Pada perlawanan semalam, Kuching City terlebih dahulu membuka akaun jaringan melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh penyerang import Brazil, Bryan Jones Anicezio pada minit ke 23.

Penalti tersebut diberikan selepas pemain JDT II, Che Rashid didakwa mengasari salah seorang pemain tuan rumah. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

120664216_1825479894281968_3355977684958567832_o
FOTO: JST

Bagaimanapun, babak kedua menyaksikan JDT II kembali menyamakan kedudukan melalui rembatan bekas pemain import Kedah, Fernando Rodriguez dalam kotak penalti pada minit ke 54.

Namun, jaringan penyamaan tersebut nyata tidak mematahkan semangat pemain Kuching City FC untuk terus memburu jaringan kedua dalam keadaan hujan renyai.

Usaha mereka akhinya membuahkan hasil 4 minit kemudian apabila pemain import Jepun, Yuta Suzuki memanfaatkan hantaran cantik daripada Hudson Dias dengan melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol JDT II.

Tersentak dengan jaringan itu, JDT II cuba bangkit mengaturkan serangan tetapi barisan pertahanan Kuching City lebih berdisiplin mengekang kemaraan mereka sekaligus memastikan 3 mata penuh berada dalam genggaman.

Sebaik sahaja pengadil meniup wisel penamat perlawanan, beberapa pemain serta pegawai pasukan Kuching City FC terus bersorak meraikan kejayaan manis mereka mencipta sejarah baharu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Pulau Pinang Tamatkan Penantian 7 Tahun Selepas Bergelar Juara Liga Premier 2020

IG Story Eyka Farhana Dedahkan Kehadiran ‘Penyokong’ Ke Stadium, MFL Wajib Tampil Beri Penjelasan

Kedah Guna Nama Darulaman FC (DFC), Rekaan Logo Baharu Pasukan Bakal Cetus Kontroversi Dari Peminat