Kuala Kangsar BRM FC secara rasminya telah menarik diri dalam kempen MBSB Bank Championship 2023 selepas hanya mengharungi sembilan perlawanan liga setakat ini.

Baca Juga:

Perkembangan terkini yang nyata bukanlah berita yang positif itu telah disahkan sendiri oleh Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi selepas beliau menerima surat makluman penarikan diri dari kelab yang berpengkalan di Kuala Kangsar itu.

Layak ke separuh akhir pada edisi 2022, BRM FC pada musim ini kelihatan bergelut untuk meneruskan rentak kecemerlangan mereka dan akhirnya terpaksa mengambil langkah drastik ini.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan kelab tersebut, sebab utama penarikan diri daripada saingan itu adalah berkait rapat dengan isu kewangan yang kian meruncing.

“Kuala Kangsar BRM FC (KK BRM FC) telah secara rasmi menarik diri dari saingan MBSB Bank Championship menerusi surat yang dihantar kepada AFL pada 19 Jun 2023.”

“Kita telah berusaha untuk berbincang dan cuba membantu KK BRM FC dalam menangani masalah yang dihadapi namun pihak pengurusan kelab telah nekad dengan keputusan mereka”

“AFL menerima dan menghormati keputusan tersebut dengan berat hati dan susulan penarikan diri KK BRM FC, semua perlawanannya dibatalkan serta dianggap tidak sah termasuklah semua mata dan gol yang telah dimainkan sebelum penarikan diri secara rasmi KK BRM FC,” katanya.

Tambah Datuk Wira Mohd Yusoff, rentetan penarikan diri KK BRM FC, perjalanan MBSB Bank Championship 2023 akan diteruskan mengikut perancangan sedia ada.

“Mengenai tindakan yang bakal dikenakan keatas KK BRM FC, keputusan rasmi akan ditentukan selepas Ahli Lembaga Pengarah AFL bermesyuarat dalam masa terdekat,” katanya.