Krisis tunggakan gaji serta isu dalaman yang dihadapi skuad Perak pada ketika ini telah menyebabkan enam pemain utamanya meninggalkan pasukan sebagai langkah penyelesaian masalah terbaik dalam menghadapi sisa saingan Liga Malaysia 2021.
Seperti diketahui, Shahrul Saad bersama Guilherme De Paula disambar gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim, Kenny Pallraj dan J. Partiban pula menyertai Kuala Lumpur City manakala Nazirul Naim Che Hashim baharu sahaja diumumkan bersama Sabah.
Sementara itu, Shakir Hamzah turut disahkan meninggalkan Perak tetapi pasukan mana yang akan disertainya masih belum dapat dipastikan tetapi spekulasi mengatakan beliau mendapat dua tawaran kelab negara kelahirannya, Singapura.
Ketika jendela perpindahan masih lagi dibuka, berkemungkinan ada satu atau dua nama lagi akan meninggalkan pasukan bagi mencari masa depan yang lebih terjamin berbanding terus bersama Perak.
Bagaimanapun pemain-pemain utama seperti Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Rafiuddin Roddin, Mohamad Idris Ahmad, Amirul Azhan Aznan, Firdaus Saiyadi bersama-sama pemain import iaitu Leandro Dos Santos Oliveira, Raianderson Da Costa Morais (Careca), Sergio Aguero dan Nana Poku dikhabarkan akan terus membawa cabaran Perak pada musim ini.
Bukanlah mahu menyokong segala kecacatan yang dilakukan oleh pihak pengurusan seolah-olah merelakan pemergian pemain utama mereka, tetapi apa yang dihadapi Perak pada ketika ini sebenarnya mampu memberikan peluang serta impak positif buat pemain muda.
Hal ini kerana selepas kehilangan enam pemain utama, sudah pastinya khidmat pemain muda yang beraksi bersama Perak II akan ditagih pengendali pasukan, Chong Yee Fatt dalam memberikan lebih banyak pilihan buatnya.
Seperti yang dapat disaksikan ketika aksi menentang Sri Pahang tempoh hari, pemain muda seperti Mohamad Aizat Safuan Razali, Mohd Amier Mohd Ali dan Muhamad Syahir Bashah tidak langsung menunjukkan kegugupan ketika pertama kali diberikan peluang beraksi dalam saingan Liga Super.
Mereka mungkin dilihat bergelut bersama Perak II tetapi dengan adanya tunjuk ajar serta mendapat bimbingan daripada pemain berpengalaman dalam skuad utama, ia jelas mampu meningkatkan keyakinan pemain-pemain muda ini untuk merebut tempat di kesebelasan utama Perak.
Perlu diingat, Perak merupakan antara pasukan yang tidak pernah ketandusan bakat-bakat baharu dan sekiranya mereka mendapat pendedahan secukupnya tidak mustahil pemain-pemain ini dapat menyinar tanpa sebarang keraguan.
Mungkin krisis dihadapi mendatangkan kemarahan buat para peminat dan ada yang merasakan pasukan ini bakal berdepan kesukaran untuk kekal dalam saingan Liga Super, tetapi peluang kini terbuka seluas-luasnya buat Aizat Safuan, Syahir Bashah, Mohd Amier bersama rakan sepasukan lain untuk membuktikan kemampuan beraksi di pentas lebih tinggi.
Tetapi, keadaan ini bukan tiket untuk pengurusan tertinggi pasukan melupakan segala masalah dimulakan oleh mereka!
Jangan culas terhadap pembayaran gaji dan jaga kebajikan pemain walaupun pemain-pemain ini masih hijau dalam kancah bola sepak tanah air.
Baca artikel tentang perkembangan masalah yang dihadapi skuad Yob ini:
Mengimbau Pengorbanan Steve Darby Buat Perak Pastikan Jiwa Anak Buah Masih Membara