Sistem video bantuan pengadil (VAR) dijangka dilaksanakan dalam Liga Malaysia (Liga-M) sepenuhnya mulai musim 2024 bagi meningkatkan mutu pengadilan dalam perlawanan bola sepak.

Baca Juga:

Namun begitu, penggunaan teknologi tersebut bakal menelan kos RM9.7 juta dan ia adalah kos penyediaan bagi tahun pertama dengan menggunakan trak bergerak untuk operasi VAR yang akan diletakkan di luar stadium pada hari perlawanan.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam ketika pengamal media dijemput untuk meninjau Latihan Fasa Kedua VAR yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.

Pengunaan trak bergerak disifatkan sebagai langkah penyelesaian terbaik bagi mengatasi halangan seperti kekuatan internet dan penyediaan infrastruktur di stadium.

“Kos keseluruhan bagi tahun 2024 adalah RM9.7 juta namun ini begitu tinggi kerana ia membabitkan kos pada tahun pertama memandangkan kita perlu menanggung kos bagi pembelian infrastruktur.

“Bagi tahun berikutnya, kita jangkakan kosnya sekitar RM3.2 juta setahun tetapi kos ini tidak membabitkan perbelanjaan jika kita mahu menambah kamera yang digunakan.

“Kita sasarkan dapat menggunakan VAR untuk semua 240 perlawanan yang akan berlangsung pada tahun depan,” kata Stuart Ramalingam.

FOTO: FAM

Sebagai permulaan, enam kamera akan dipasang terlebih dahulu bagi pelaksanaan teknologi VAR untuk musim depan dan pertambahan jumlah kamera bergantung kepada pihak penyiar.

“Bagi sebarang pertambahan kamera yang digunakan, kita perlu berbincang dengan rakan penyiar untuk memastikan kesediaan mereka memberikan khidmat terbabit.

“FIFA menggunakan sehingga 42 kamera namun sebarang pertambahan kamera akan membabitkan kos tambahan juga kepada kos operasi MFL,” jelasnya.

Stuart turut mengesahkan kos pelaksanaan VAR pada musim depan akan ditanggung sepenuhnya oleh MFL buat masa ini.