Pengurus skuad kebangsaan Belanda, Ronald Koeman meluahkan rasa kecewanya berikutan keputusan bintang The Oranje, Cody Gakpo dalam memilih untuk berhijrah ke Liverpool dengan lebih awal.

Baca Juga:

Gakpo yang memberikan sumbangan berkesan ketika bersama PSV Eindhoven dengan sembilan gol serta 12 bantuan jaringan dalam kempen Liga Eredivisie 2022/23 meneruskan kecemerlangan ketika aksi Piala Dunia di Qatar.

Keadaan itu sudah pastinya menarik minat banyak kelab gergasi Eropah dan akhirnya pada 28 Disember lalu beliau telah menyertai Liverpool dengan nilai perpindahan berjumlah £35 juta.

Namun, permulaan kariernya bersama The Reds tidaklah manis seperti yang diharapkan apabila beliau masih ketandusan jaringan meskipun sudah beraksi pada enam perlawanan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.

Daripada enam penampilan tersebut, tiga daripadanya adalah bertemu Wolverhampton Wanderers, dua aksi menentang Brighton dan satu perlawanan dengan Chelsea.

Beliau dilihat agak bergelut untuk memberikan sumbangan berkesan buat pasukan tatkala Liverpool pada ketika ini berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Sejak Gakpo disenaraikan oleh Jurgen Klopp dalam pasukan, Liverpool hanya mampu mencatatkan satu kemenangan (1-0 ke atas Wolves dalam perlawanan ulangan Piala FA), dua keputusan seri dan tiga kekalahan.

Keadaan itu nyata membuatkan Koeman kecewa dengan keputusan Cody Gakpo dalam memilih Liverpool sebagai destinasi baharu buat kariernya.

“Dia menyertai pasukan yang tidak beraksi dengan baik,” ujar Koeman menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Jika anda tidak menjaringkan gol atau anda tidak penting dan tidak memenangi sebarang perlawanan, ia sangat sukar terutamanya buat seorang pemain muda.”

“Jika itu dihadapi oleh seseorang yang berusia 28 tahun dengan pengalaman dimilikinya, ia pastinya akan berbeza.”

“Tahap di England lebih tinggi berbanding di Belanda. Tetapi mereka juga pemain muda, bukan? Seperti [Ryan] Gravenberch pergi ke Bayern Munich dan tidak bermain. Kemudiannya ia akan menjadi sesuatu yang sukar,” tambah Koeman lagi.

 

 

 

 

 

Sumber