Julian Nagelsmann dilaporkan bakal dipecat sebagai jurulatih Jerman, lapor akhbar tabloid Bild pada Khamis, dengan bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menjadi pilihan utama untuk mengambil alih tugas di bangku simpanan.

Nagelsmann, 38, dihujani kritikan sejak Jerman tersingkir daripada pusingan 32 terakhir Piala Dunia susulan kekalahan mengejut kepada Paraguay.

Sambil memaparkan gambar Nagelsmann di ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) di Frankfurt, Bild pada Khamis melaporkan bahawa jurulatih itu ditawarkan pakej pampasan bernilai tujuh juta euro (AS$8 juta) untuk melepaskan jawatannya dalam satu pertemuan selama tiga jam.

Kali terakhir diperbaharui pada Januari 2025, kontrak Nagelsmann dijadualkan berjalan sehingga tahun 2028.

Angka mengenai gaji tahunannya tidak didedahkan kepada umum, walaupun media Jerman melaporkan beliau memperoleh kira-kira tujuh juta euro setahun.

Kekalahan Jerman kepada Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti menandakan kali ketiga berturut-turut juara empat kali itu tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia, susulan kegagalan di peringkat kumpulan di Rusia dan Qatar sebelum ini.

Kekalahan pada hari Isnin itu merupakan perlawanan kalah mati pertama Jerman sejak menjuarai Piala Dunia di Brazil pada tahun 2014.

Pada hari Selasa, presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), Bernd Neuendorf, mengumumkan siasatan segera berhubung kegagalan dalam Piala Dunia.

Keputusan mengenai Nagelsmann dijangka dibuat “selewat-lewatnya awal minggu depan”, lapor anak syarikat sukan AFP, SID, pada Khamis.

Beberapa media Jerman, termasuk Sky dan akhbar harian Munich, Süddeutsche Zeitung, melaporkan bahawa Klopp merupakan calon pilihan utama untuk menggantikan Nagelsmann.

Klopp mengundur diri daripada bidang pengurusan selepas meninggalkan Liverpool pada 2024 dan sejak itu dilantik sebagai ketua bola sepak global bagi jenama minuman tenaga Red Bull, sekali gus menyelia rangkaian pelbagai kelab yang merangkumi kelab di Austria, Jerman, Brazil, Amerika Syarikat dan Jepun.