Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, pada Isnin mengecam keputusan FIFA membatalkan penggantungan penyerang AS, Folarin Balogun, yang dilaporkan berlaku selepas campur tangan daripada Presiden AS, Donald Trump.
Balogun sepatutnya terlepas aksi kalah mati pusingan 16 terakhir pada Isnin menentang Belgium selepas dilayangkan kad merah dalam perlawanan terdahulu, namun FIFA pada Ahad menggantung hukuman tersebut selama setahun, sekali gus membolehkan penyerang itu beraksi.
Sumber memberitahu AFP bahawa Trump secara peribadi telah menghubungi Presiden FIFA Gianni Infantino, meminta beliau untuk menyemak semula hukuman Balogun.
Bekas pengurus Liverpool, Klopp, yang bakal menjadi pengurus Jerman seterusnya selepas peletakan jawatan Julian Nagelsmann pada Jumaat, mengecam keputusan tersebut.
“Ia adalah kad merah, walaupun agak mengecewakan kerana Balogun tidak dapat bermain, tetapi ia memang ada dalam peraturan,” kata Klopp.
“Ini permainan kita, bukan mereka… Jika Trump dan Infantino benar-benar mengatur semua ini sesama mereka, itu gila. Ia menimbulkan persoalan terhadap segalanya…
“Kedua-dua individu ini, yang mana kedua-duanya langsung tidak memahami tentang bola sepak, tidak sepatutnya terlibat dalam hal ini,” tambah lelaki berusia 59 tahun itu.
Jurgen Klopp was asked about the White House calling FIFA’s Gianni Infantino to review Folarin Balogun’s red card 🗣️ pic.twitter.com/KdTxtNsfC9
— Football on TNT Sports (@footballontnt) July 6, 2026
Balogun, 25, dilayangkan kad merah terus selepas semakan VAR menunjukkan beliau memijak kaki pertahanan Bosnia dalam kemenangan 2-0 AS pada pusingan 32 terakhir.
Peraturan FIFA menyatakan bahawa kad merah secara automatik akan mengakibatkan penggantungan satu perlawanan, yang tidak boleh dirayu.
Namun, satu peraturan dalam statut FIFA membenarkan badan induk tersebut untuk “menggantung sepenuhnya atau sebahagian pelaksanaan tindakan disiplin”, yang pada dasarnya menyamai kuasa veto terhadap keputusan pengadil.
Peraturan yang sebelum ini kurang dikenali menjadi asas kepada pembatalan penggantungan tiga perlawanan yang dikenakan ke atas Cristiano Ronaldo menjelang kejohanan tersebut, yang membolehkan penyerang bintang itu layak beraksi dalam dua perlawanan pertama Portugal.
Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), Bernd Neuendorf, menuntut penjelasan daripada FIFA, dengan menyatakan bahawa keputusan tersebut menjejaskan kredibiliti kejohanan berkenaan.
“FIFA sepatutnya segera menangani laporan yang membayangkan bahawa keputusan untuk menggantung kad merah yang dilayangkan kepada pemain Amerika Syarikat, Folarin Balogun didahului dengan panggilan telefon antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden FIFA Gianni Infantino,” kata Neuendorf kepada SID, anak syarikat AFP pada Isnin.
“Tanggapan bahawa wujudnya campur tangan politik secara aktif dalam sukan ini mestilah dibasmi dengan pantas dan muktamad. Ini melibatkan soal integriti kejohanan serta kredibiliti FIFA.”
Trump, yang merupakan penerima sulung Anugerah Keamanan FIFA yang baru diwujudkan menjelang kejohanan tersebut, memuji keputusan FIFA di media sosial.
“Terima kasih kepada FIFA kerana melakukan perkara yang betul, dan membatalkan ketidakadilan yang besar!” tulis Trump di platform Truth Social beliau.