Pengurus pasukan Klasiko FC, Khairil Anuar menganggap keputusan Amateur Football League (AFL) membatalkan saingan Liga M3 musim ini adalah tepat pada masanya tatkala faktor kewangan pasukan kian terjejas ekoran pandemik COVID-19.
Jelasnya, jika saingan liga amatur tersebut diteruskan, beliau khuatir pasukan terpaksa menarik diri kerana mereka juga sedang bergelut dengan peruntukan pasukan apabila pihak penaja mengalami masalah kewangan sekali gus sukar untuk meneruskan penajaan bagi musim ini.
Namun, Khairil turut melahirkan rasa simpati buat pasukan lain yang sudah melakukan persediaan lebih baik pada musim 2020 tetapi terpaksa menerima kenyataan terhadap pembatalan saingan Liga M3 tahun ini dan berharap saingan musim 2021 akan lebih lancar buat mereka.
Berkenaan kontrak dan gaji pemain, Khairil menjelaskan barisan pemain Klasiko FC tidak dibayar gaji bulanan sebaliknya diberi elaun perlawanan sahaja kerana kesemua mereka sudah pun bekerja tetap dan situasi ini sedikit sebanyak membantu pasukan untuk melakukan persediaan lebih baik bagi musim hadapan.
“Boleh dikatakan agak lega apabila AFL mengumumkan pembatalan Liga M3 kerana pihak penaja Klasiko FC juga terjejas dengan wabak COVID-19 ini kerana mereka rata-rata ada perniagaan sendiri, jadi sudah pasti kewangan juga akan terjejas.
“Oleh itu, saya merasakan pembatalan liga ini adalah paling sesuai untuk pasukan seperti kami dan selepas ini kami akan mempunyai banyak masa untuk membuat perancangan dan mencari penaja tambahan bagi musim depan.
“Untuk musim hadapan, kita tengok dahulu sejauh mana kewangan yang kita ada di mana saya sebenarnya lebih selesa menggunakan peruntukan yang minimal untuk pasukan agar kita dapat bertahan bagi jangka masa panjang, dan pemain-pemain juga sangat memahami berkenaan kewangan pasukan ketika ini”, katanya.
Sementara itu, pengendali Kuala Terengganu Rovers ( KT Rovers), Mohd.Azhari Salim bersetuju langkah yang diambil AFL memandangkan waktu semakin suntuk untuk meneruskan saingan Liga M3 musim ini.
Tambahnya, apa jua langkah diambil AFL adalah selaras dengan garis panduan diterapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan wabak COVID 19.
” Saya memang bersetuju dengan langkah ini memandangkan wabak COVID 19 masih belum berakhir dan bola sepak berada dalam sukan yang dikategorikan ada kontak rapat semasa bermain.
“Malah jika kita bermula September nanti pun, tidak banyak perlawanan diadakan memandangkan aksi hanya seminggu sekali yang dijangka berakhir Disember nanti.
“Mengenai isu kontrak, kami tidak ada masalah besar bagi pemain tempatan kerana semuanya dibayar mengikut elaun cuma untuk pemain import, kami akan adakan perbincangan secara mendalam dengan mereka tentang pembayaran baki kontrak,” katanya.
Terdahulu, AFL telah mengesahkan pembatalan Liga M3 musim ini berikutan penularan wabak COVID-19 yang telah diklasifikasikan sebagai pandemik di seluruh dunia.
Antara faktor pembatalan adalah venue dan padang pasukan bertanding kebanyakannya terbuka dan tidak memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk dijalankan secara tertutup dan tanpa penonton.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami sediakan untuk anda.
Media Thailand Ini Labelkan Skuad Kebangsaan Malaysia Sebagai ‘Johor National Team’