Hasrat Kuala Lumpur (KL) City untuk menjulang trofi Piala AFC 2022 tidak kesampaian selepas tunduk 0-3 ditangan Al Seeb pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Beraksi di atas permukaan padang basah ekoran hujan yang turun sebelum aksi berlangsung menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak itu sedikit bergelut untuk menyaingi keupayaan pasukan lawan.

Wakil dari Oman itu lebih selesa mengawal permainan serta mencipta beberapa peluang terbaik ke arah kubu KL City yang dikawal Kevin Ray Mendoza.

Kredit Foto: Syamil Rosli I PFA Malaysia

KL City bagaimanapun terlebih dahulu memberikan ancaman buat Al Seeb apabila hantaran lintang dilakukan J. Partiban berjaya mencari Zhafri Yahya dalam kawasan penalti. Namun, percubaan jarak dekat dilakukannya pada minit ke-18 itu diselamatkan dengan baik penjaga gol Al Seeb, Ahmed Faraj Al Rawahi.

Berselang empat minit kemudian, kem Al Seeb melonjak kegembiraan selepas sepakan penjuru yang diambil Ali Sulaiman Al-Busaidi terus menerjah ke gawang KL City tanpa mampu dihalang Kevin Mendoza untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Jaringan itu jelas meningkatkan moral para pemain Al Seeb untuk terus memburu jaringan dimana ia membuahkan hasil pada minit ke-37.

Berpunca daripada hantaran lintang menarik Salaah Said Al Yahyaei ke dalam kawasan penalti bagi memberikan ruang untuk Abdul Aziz Humaid Al Maqbali melakukan tandukan yang berjaya membolosi gawang KL City.

Memasuki babak kedua, KL City memperkemaskan aksi untuk memberikan saingan tetapi barisan anak buah Rasheed Jabar Al-Yafai itu mengekalkan momentum aksi dengan meneruskan penguasaan permainan.

Kredit Foto: Syamil Rosli I PFA Malaysia

Keadaan itu membolehkan mereka menambah jaringan ketiga menerusi Muhsen Saleh Al Ghassani pada minit ke-69 selepas beliau lincah menggelecek Giancarlo Gallifuoco dan kemudiannya melepaskan rembatan kaki kiri.

KL City yang masih belum berputus-asa mendapat peluang untuk merapatkan defisit jaringan ketika permainan memasuki minit ke-73 tetapi tandukannya setelah menerima hantaran Paulo Josue ditepis keluar Ahmed Faraj Al Rawahi.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk memastikan Al Seeb menjadi pasukan pertama dari Oman yang berjaya muncul juara Piala AFC manakala pencapaian KL City mara sehingga ke peringkat akhir juga seharusnya dipuji.