Kuala Lumpur (KL) City muncul juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 selepas berjaya menundukkan Perak 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Masih mengekalkan sebahagian besar pemain yang sudah beberapa musim bersama, KL City tampil dengan lebih bertenaga untuk memberikan ancaman ke arah pintu gol Perak.
Ia jelas dibuktikan apabila Romel Morales mendapat peluang seawal minit pertama selepas beliau merampas bola daripada kawalan pemain tengah, Muhammad Fadhil Idris tetapi rembatannya dari kawasan penalti sedikit tersasar.
Morales sekali lagi kecewa ketika permainan memasuki minit ke-28 apabila percubaannya dalam kawasan penalti susulan situasi sepakan percuma diselamatkan penjaga gol, Bryan See Tian Keat.
Rekrut baharu KL City, Herlison Caion De Sauza Fereira meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-34 menerusi sepakan penalti setelah bek kanan Perak, Muhamad Hafizal Mohamad Alias mengasari Romel Morales.
Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Lim Teong Kim cuba untuk bangkit bagi mendapatkan jaringan penyamaan tetapi rembatan Muhammad Farris Izdiham diselamatkan Kevin Ray Mendoza manakala percubaan Christian Obiozor pula hanya singgah di palang gol.
Dua lagi gol KL City disumbangkan oleh pemain import, Paulo Josue (minit ke-53) dan Giancarlo Gallifuoco (minit ke-74) untuk mengesahkan kemenangan 3-0 sekali gus menjulang piala yang didedikasikan kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu.